suria

700 Sukarelawan Darul Ta'zim Sertai Op Cuci Banjir

Khaled (empat dari kanan) dan Zulkurnain (tiga dari kanan) bersama sukarelawan pada majlis pelepasan Op Cuci Banjir di Kota Iskandar, Rabu.

ISKANDAR PUTERI: Tujuh ratus anggota Sukarelawan Darul Ta'zim (SDT) berlepas ke tiga lokasi banjir di negeri ini dalam usaha membantu dan memberi sumbangan kepada mangsa banjir.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Kebudayaan dan Warisan Johor Datuk Zulkurnain Kamisan berkata program sehari menerusi 'Op Cuci Banjir Sukarelawan Darul Ta'zim' itu melibatkan kawasan Segamat, Muar dan Labis yang terjejas teruk akibat bencana itu.

"Operasi ini melibatkan penyertaan daripada 20 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negeri ini yang dijadual bergerak melakukan aktiviti pembersihan di 50 lokasi termasuk premis awam dan kediaman," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas majlis pelepasan Op Cuci Banjir Sukarelawan Darul Ta'zim oleh Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin di Kota Iskandar, di sini, Rabu.

Zulkurnain berkata selain kerja pembersihan, para sukarelawan turut memberi sumbangan berbentuk makanan seperti beras, tepung, biskut dan gula serta rawatan kesihatan kepada mangsa banjir.

Sementara itu, Mohamed Khaled dalam ucapannya melahirkan rasa bangga terhadap semangat anggota sukarelawan yang terlibat dalam operasi berkenaan.

"Kerajaan negeri amat hargai semangat dan juga sumbangan sukarelawan untuk menjayakan Op Cuci Banjir kali ini demi membantu meringankan beban mangsa. 

"Bekerjalah dalam satu kumpulan dan paling penting, jagalah keselamatan diri masing-masing sepanjang operasi ini," katanya.-- Bernama



Op Cuci Banjir, SDT

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain