suria

Mara Gantung Serta-Merta Tugas Annuar

Tan Sri Annuar Musa

KUALA LUMPUR: Majlis Amanah Rakyat (Mara) pada Selasa mengambil keputusan menggantung tugas Tan Sri Annuar Musa sebagai pengerusi berkuat kuasa serta merta.

Jawatan beliau sebagai Pengerusi Pelaburan Mara Bhd (PMB) juga digantung berkuat kuasa pada tarikh sama.

Keputusan itu dibuat dalam satu mesyuarat tergempar yang dipengerusikan oleh Ahli Majlis Mara, Datuk Dr Yusof Yacob dan Prof Emeritus Datuk Dr Abu Azam Md Yassin di ibu pejabat Mara di sini.

Dilaporkan, keputusan sebulat suara itu dibuat bagi membolehkan siasatan dalaman dibuat berhubung tajaan pasukan bola sepak Kelantan dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) oleh dua agensi berkenaan di mana Annuar didakwa melakukan salahguna kuasa.

"Kita bersetuju membincangkan isu tajaan Mara melalui PMB dan UniKL terhadap pasukan bola sepak Kelantan, The Red Warrior (TRW) yang menjadi viral di laman sosial baru-baru ini.

"Sehubungan itu, Mara terpaksa mengambil tindakan tuntas dengan menggantung tugas Annuar supaya isu ini tidak berlarutan sehingga menyebabkan keyakinan rakyat kepada pengurusan kerajaan semakin terhakis," katanya dalam sidang media, di ibu pejabat Mara, Selasa.

Semua tugas Annuar akan dipangku oleh Dr Yusof selepas mendapat persetujuan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob.

Katanya, Annuar sudah dimaklumkan mengenai penggantungan tugas itu dan beliau akur dengan keputusan tersebut.

Annuar Musa, Mara, TRW, salah laku

Artikel Berikut

Artikel Lain