suria

Polis Buru Along Kutip 'Angpau' Tahun Baharu Cina

Mohad Idris (kanan) dan Ketua Siasatan Jenayah Daerah Tangkak, ASP Azmi Ali menunjukkan gambar suspek yang dikehendaki bagi membantu siasatan polis berhubung kes samun di Sungai Mati, pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Tangkak pada Isnin. Foto Bernama

TANGKAK: Polis kini memburu tiga lelaki warga tempatan yang dipercayai menganggotai kumpulan 'along' yang merampas barang berharga dan wang tunai daripada satu keluarga di Sungai Mati, dekat sini, Sabtu lepas.

Ketua Polis Daerah Tangkak, Supt Mohad Idris Samsuri berkata, pada kejadian awal pagi Tahun Baharu Cina tersebut, pengadu wanita berusia 23 tahun itu didatangi tiga lelaki yang membuat bising di luar rumah memintanya membayar hutang berjumlah RM2,000.

"Ketiga-tiga suspek kemudian bertindak ganas membakar motosikal yang berada di hadapan rumah apabila pengadu tidak berani keluar dari rumah setelah diugut oleh suspek," katanya kepada pemberita di sini, Isnin.

Mohad Idris berkata, nasib malang menimpa bapa mangsa yang berusia 46 tahun, apabila dia bertindak keluar dari rumah dan ditikam dengan senjata tajam yang disyaki sebilah pisau oleh seorang daripada suspek. 

"Ketiga-tiga suspek kemudian masuk ke rumah dan merampas barang kemas, telefon bimbit dan wang tunai milik mangsa dianggarkan bernilai RM4,000 sebelum melarikan diri," kata beliau.

Beliau berkata, bapa mangsa yang merupakan seorang tukang baiki mesin jahit kemudiannya dibawa ke hospital untuk rawatan dan kini berada dalam keadaan stabil.

Hasil siasatan awal mendapati abang kepada mangsa telah meminjam wang sebanyak RM2,000 dan telah melarikan diri apabila gagal menjelaskan hutangnya.

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan iaitu samun mendatangkan kecederaan dan Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan bencana dengan menggunakan api.

Menurut Mohad Idris, pihaknya telah mengenal pasti dua daripada suspek dan masih menyiasat seorang lagi suspek yang belum dikenali.

Sehubungan itu, polis ingin menghubungi Ker Chian Hau, 25, dan Vincent Jauy Joo Sen, 24, yang juga rakan kepada abang mangsa, bagi membantu siasatan.

Mohad Idris meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai ketiga-tiga suspek supaya menghubungi balai polis yang berhampiran. - Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain