suria

1.82Kg Ganja Dalam Kereta Suspek

MUAR: Polis menahan seorang lelaki tempatan dan merampas ganja seberat 1.82kg bernilai RM4,400 dalam sebuah kereta di Jalan Ismail, di sini, Ahad.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Azman Ayob berkata suspek berusia 38 tahun itu dipercayai sedang menunggu dalam kereta jenis Perodua Viva di hadapan sebuah rumah untuk urusan menjual dadah berkenaan.

Dalam serbuan 12.45 tengah hari itu, polis menemui dadah berkenaan di tempat duduk belakang kenderaan tersebut, katanya kepada pemberita, di sini, Isnin.

"Siasatan awal mendapati suspek memperoleh bekalan dadah berkenaan dari Kuala Lumpur dan dipercayai untuk diedarkan di daerah ini yang boleh menampung kira-kira 1,800 penagih," katanya.

Katanya, lelaki yang tidak bekerja itu, didapati mempunyai tiga rekod lampau berkaitan kesalahan dadah di sini dan di Pedas, Negeri Sembilan.

Bagaimanapun, katanya, ujian air kencing terhadap suspek negatif.

Suspek yang berasal dari Muar itu kini direman sehingga 5 Februari depan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan, katanya.-- Bernama



Azman Ayob, Jalan Ismail, Muar

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Polis Maut Dalam Kemalangan

Artikel Lain