suria

PAS Jumpa Wakil Gereja Isu RUU355

BUKIT MERTAJAM: Beberapa pemimpin PAS mengadakan pertemuan dengan wakil gereja Katolik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di sini untuk membincangkan mengenai cadangan pindaan kepada Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Akta 355).

Penyelaras antara agama PAS, Abdul Rahman Kassim berkata, mereka yang hadir ialah Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man; Bishop Pulau Pinang, Datuk Rev Sebastian Francis dan aktivis sosial Anil Netto.

Beliau menambah bahawa pertemuan itu adalah kunjungan hormat Tuan Ibrahim untuk menunjukkan rasa hormat kepada agama lain dan bagi menjalin hubungan yang lebih baik.

"Kami membincangkan sedikit mengenai cadangan pindaan oleh PAS berhubung Akta 355 dan menjelaskan sebab-sebab kami ingin melakukannya.

"Gereja ini melahirkan kebimbangan terhadap pindaan itu, kita menjawab soalan-soalan mereka dan meyakinkan mereka bahawa tidak ada keperluan untuk orang bukan Islam bimbang," kata Abdul Rahman selepas mesyuarat selama sejam di Gereja St Anne di sini.

Beliau berkata tiada sebarang keputusan itu dibuat pada mesyuarat itu kerana ia hanya satu majlis santai yang disifatkannya sebagai "berjaya".

PAS merancang untuk mengadakan perhimpunan di Dataran Merdeka pada 18 Februari depan bagi menyokong Rang Undang-Undang Persendirian oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang dibentangkan di Parlimen pada Mei tahun lepas.

Walau bagaimanapun, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah mengeluarkan surat kepada parti itu untuk melarang perhimpunan tersebut.

PAS, RUU355

Artikel Lain