suria

Tempatkan Premis Perniagaan Kea Farm Ke Lokasi Lebih Selamat - Tengku Abdullah

Tengku Abdullah (kiri) berkenan melawat lokasi kebakaran pada majlis perjumpaan dan mengurniakan Sumbangan kepada mangsa kebakaran gerai di Kea Fam Brinchang pada Sabtu. fotoBERNAMA

CAMERON HIGHLANDS: Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Abdullah Sultan Ahmad Shah meminta satu perancangan jangka panjang dilakukan untuk menempatkan premis perniagaan Kea Farm di sini, yang terjejas akibat kebakaran pada Jumaat, ke lokasi lebih selamat.

Titah baginda memandangkan insiden kebakaran itu telah berlaku, Kea Farm dilihat sudah tidak strategik berikutan kedudukannya berhampiran jalan raya utama dan boleh menyebabkan kesesakan lalu lintas di kawasan itu.

Baginda turut memberi peringatan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) khususnya di Pahang agar tidak 'menutup mata' dalam melaksanakan penguatkuasaan lokasi premis.

"Saya harap ia sebagai satu peringatan kepada pejabat daerah... bagi lesen berniaga, mesti ada perancangan jangka panjang, supaya kedai-kedai ini ditempatkan di lokasi yang betul.

"Jangan tutup mata untuk selama-lamanya khususnya dalam penguatkuasaan. Saya tidak mahu ia berulang sehingga jalan (terpaksa) ditutup dan menyusahkan perjalanan orang di sini," titah baginda.

Tengku Abdullah bertitah demikian pada majlis perjumpaan dan mengurniakan sumbangan kepada sembilan pemilik kedai di Kea Farm yang terbakar awal pagi Jumaat.

Baginda juga mahu kerja-kerja pembersihan lokasi kebakaran dilakukan dengan cepat bagi membolehkan perniagaan di sekitar kawasan itu berjalan seperti biasa.

Dalam kejadian 12.57 tengah malam semalam, sebanyak sembilan deretan kedai pelbagai musnah, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Terdahulu, Tengku Abdullah yang berangkat tiba pada pukul 5.20 petang ini dengan diiringi Pegawai Daerah Cameron Highlands Ishak Mohd Napis, berkenan meninjau deretan kedai yang terbakar itu dan mendengar taklimat daripada pihak pejabat daerah tentang situasi semasa. - BERNAMA


Cameron Highlands, Kea Farm

Artikel Lain