suria

Mangsa Banjir Di Terengganu Meningkat

Penduduk Kampung Buloh, Permaisuri terpaksa meredah air ekoran banjir yang melanda pada Sabtu. fotoBERNAMA

KUALA TERENGGANU: Situasi banjir di Terengganu tidak banyak berubah setakat 6 petang Sabtu namun jumlah mangsa sedikit meningkat kepada 2,680 orang berbanding 2,358 orang tengah hari tadi.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu, Left Kolonel Che Adam A Rahman berkata enam pusat pemindahan baharu kini dibuka menjadikan jumlah keseluruhan yang beroperasi 66 pusat.

"Di Besut, jumlah mangsa sedikit berkurang susulan penutupan sebuah pusat pemindahan menjadikan jumlah terkini seramai 1,233 mangsa daripada 316 keluarga di 32 pusat pemindahan.

"Namun, di Setiu, satu lagi pusat pemindahan dibuka menjadikan jumlah mangsa terus bertambah kepada 872 orang berbanding 809 orang tengah hari tadi.

"Sebanyak 227 keluarga kini berada di 21 pusat pemindahan di daerah itu," katanya dalam kenyataan di sini.

Di Hulu Terengganu, jumlah mangsa terus meningkat kepada 493 orang daripada 152 keluarga berbanding 222 mangsa daripada 63 keluarga tengah hari tadi susulan penambahan tiga lagi pusat pemindahan di daerah itu, menjadikan jumlah terkini lapan pusat beroperasi.

Di Kemaman, 82 mangsa daripada 29 keluarga kini ditempatkan di lima pusat pemindahan berbanding 33 mangsa daripada 12 keluarga sahaja tengah hari Sabtu. - BERNAMA


banjir, Terengganu

Artikel Lain