suria

Seorang Lelaki Ditahan Bantu Siasatan Kes Belasah Di Ampang

Khalid Abu Bakar.

PETALING JAYA: Seorang lelaki ditahan bagi membantu siasatan kes sekumpulan individu membelasah seorang pemandu lori di tempat letak kereta kondominium Puncak Anthenaneum, Bukit Antarabangsa dekat sini, Sabtu lepas.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar bagaimanapun tidak mendedahkan butiran dan lokasi suspek lelaki itu ditahan.

"Saya telah mengarahkan Ketua Polis Daerah Ampang untuk mengesan saki-baki mereka yang terlibat memukul pemandu lori berkenaaan untuk ditangkap dan dimasukkan ke dalam lokap.

"Kami tidak boleh biarkan perkara sebegini berlaku lagi seolah-olah tidak ada undang-undang di negara kita ini," katanya dalam sidang media selepas Pelancaran Op Selamat 10/2017 sempena Tahun Baharu Cina di Persada Plus, di sini, Jumaat.

Beliau turut menafikan terdapat orang kenamaan bergelar 'Datuk' terlibat dalam kes itu.

"VIP (orang kenamaan) tidak terlibat...yang terlibat adalah pemandu yang dibelasah itu. Jangan sebut VIP, Datuk atau mana-mana menteri yang terlibat dan tidak perlu hendak kaitkan dengan orang lain pula," katanya.

Khalid turut menggesa mereka yang terlibat dalam kes itu agar menyerah diri di Balai Polis Ampang bagi membantu siasatan.

"Sekiranya mereka tidak serah diri, tunggulah kami datang ke rumah mereka. Kita kenal siapa mereka," katanya.

Kes itu mendapat perhatian ramai apabila rakaman video yang tidak diketahui sumbernya menjadi tular di laman sosial yang memperlihatkan aksi beberapa lelaki membelasah mangsa yang terbaring di jalan raya selama beberapa minit. - BERNAMA

kes belasah, Ampang, PDRM

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain