suria

TN50: Ekonomi Digital Akan Pacu Aspirasi Pertumbuhan Dua Angka Malaysia

Najib Tun Razak berucap pada Dialog Perdana Transformasi Nasional 2050 di dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya Khamis malam. Foto: Bernama

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata ekonomi digital adalah jawapan kepada aspirasi pertumbuhan dua angka Malaysia.

"Jika kita mahukan pertumbuhan dua angka, saya rasa satu-satunya sektor yang boleh membawa ke arah itu adalah sektor digital.

"Kita perlu berusaha keras dan memastikan kejayaan Digital Malaysia," katanya pada Dialog Perdana Transformasi Nasional 50 di Universiti Malaya di sini, Khamis.

Perdana Menteri turut menyifatkan Zon Perdagangan Bebas Digital yang akan dilancarkan pada Mac depan sebagai antara langkah pertama Malaysia meletakkan jejaknya dalam ekonomi digital.

Pada November 2016, Najib mengumumkan Malaysia akan merangka satu pakej menarik untuk Zon Perdagangan Bebas Digital bagi menggalakkan penyertaan lebih ramai pihak dalam sektor e-dagang negara.

Menurutnya, pakej itu akan diusahakan bersama dengan pengasas Alibaba, JackMa yang akan ke Malaysia untuk melancarkan Zon Perdagangan Bebas Digital itu pada Mac depan.

Terdahulu dalam ucapan perasmiannya, Najib mengulangi sasaran jangka pertengahan kerajaan untuk meningkatkan ekonomi Malaysia kepada US$2 trilion (US$1.00=RM4.44) dalam masa lapan tahun akan datang berbanding US$1.3 trilion,ketika ini.

"Saya juga mahu melihat Malaysia muncul sebagai antara 20 negara terkemuka di dunia," katanya. -Bernama

TN50, Najib Tun Razak

Artikel Lain