suria

14 Penumpang Bas Ekspres Terselamat Selepas Stereng Alami Masalah

- Gambar hiasan

IPOH: Seramai 14 penumpang dan seorang pemandu sebuah bas ekspres terselamat apabila kenderaan yang dinaiki terbabas di KM 233.2 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara dekat Kuala Kangsar di sini Ahad.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Perak Supt Wan Jamil Wan Chik berkata dalam kemalangan kira-kira pukul 3.15 petang itu, hanya seorang penumpang lelaki mengalami cedera ringan dan dikejarkan ke Hospital Taiping untuk menerima rawatan lanjut.


Beliau berkata semasa kejadian, bas ekspres itu dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menghala ke Butterworth, Pulau Pinang dan membawa seramai 14 penumpang warga tempatan.

"Apabila sampai di tempat kejadian, pemandu berusia 46 tahun mendakwa bas mengalami kerosakan mekanikal di bahagian stereng.

"Akibatnya pemandu hilang kawalan sebelum terbabas dan masuk ke dalam longkang di sebelah kiri lebuh raya," katanya dalam satu kenyataan di sini Ahad.

Wan Jamil berkata kesemua penumpang telah dibawa menaiki bas lain untuk meneruskan perjalanan ke Pulau Pinang.

Katanya ketika kejadian, keadaan lebuh raya lurus dengan keadaan cuaca baik dan cerah.


Artikel Berikut

Artikel Lain