suria

Langkah 2016 Tun M Tak Cukup Bisa

Dr Mahathir menghadiri Persidangan DAP 2016 di Shah Alam. -foto LOW LAY PHON

PADA usia 91 tahun, Tun Dr Mahathir Mohamad masih aktif turun naik pentas politik untuk memperjuangkan apa yang difikirkannya betul.

"Betul" daripada kaca mata veteran politik itu mungkin berbeza daripada sudut pandangan orang lain.

Malah tafsiran "betul" juga boleh berubah-rubah mengikut situasi, kepentingan dan konteks tertentu.

Tahun 2016 yang bakal melabuhkan tirai beberapa hari lagi turut merekodkan beberapa pendirian bekas perdana menteri itu yang berubah berdasarkan perkembangan politik semasa.


Dr Mahathir ketika menyertai perhimpunan Bersih5 pada 19 November. -foto AZHAR MAHFOF

Bermula 29 Februari tahun ini, Dr Mahathir memulakan langkah menyerang kepimpinan Perdana Menteri yang juga Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak dari luar Umno selepas mengumumkan pendirian untuk sekali lagi meninggalkan parti yang pernah dipimpinnya itu.

Sejak itu beliau dilihat konsisten memperjuangkan pendiriannya kerana beranggapan Umno ketika dibawah pimpinan Najib telah terpesong daripada asas perjuangannya.

Menyedari realiti bahawa usahanya hanya sia-sia jika bergerak secara bersendirian, Dr Mahathir memulakan inisiatif untuk memberi tekanan kepada Najib menerusi Deklarasi Rakyat yang dilancarkan pada 4 Mac.

Deklarasi Rakyat juga menjadi platform pertama Dr Mahathir bergandingan secara formal dengan pimpinan pembangkang termasuk musuh tradisinya, Lim Kit Siang.


Pertemuan bersejarah selepas 18 tahun.

Bagi Ketua Eksekutif Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas), Wan Saiful Wan Jan, beliau melihat langkah politik Dr Mahathir sepanjang tahun ini masih belum cukup untuk meruntuhkan tembok penguasaan Umno.

"Siri tindakan Dr Mahathir belum cukup untuk meruntuhkan Umno secara keseluruhannya. Mungkin hanya boleh merosakkan, tapi bukan untuk meruntuhkan.

"Malah tindakan Dr Mahathir keluar daripada Umno juga tidak memberi kesan kepada parti itu buat masa ini," katanya kepada mStar Online.

Mengulas mengenai sikap Dr Mahathir yang sanggup berbaik-baik dengan DAP, Wan Saiful berkata, perkara berkenaan bukan sesuatu yang mengejutkan terutama dalam politik.

"Budaya politik orang Malaysia mungkin akan anggap tindakan Dr Mahathir berbaik-baik dengan Kit Siang sebagai sesuatu yang pelik dan bakal mencetuskan fenomena luar biasa.

"Tapi hakikatnya ia hanya langkah politik yang biasa dan tidak berbisa," katanya.


Dr Mahathir dan Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika hadir ke RoS bagi urusan pendaftaran PPBM. -Foto MOHD SAHAR MISNI

Menurut Wan Saiful lagi, Barisan Nasional (BN) dan Umno boleh mengakhiri siri cabaran politik yang dihadapi mereka sepanjang tahun ini dengan nafas lega.

Katanya, parti pemerintah itu bernasib baik kerana pada tahap ini pembangkang masih belum menyelesaikan beberapa isu utama sebelum boleh meruntuhkan sokongan rakyat kepada BN pada Pilihan Raya Umum ke-14.

"Pembangkang belum cukup kukuh, kesefahaman antara mereka masih diragui. Sehingga kini parti pemerintah masih belum hilang sokongan rakyat dan akan terus berkuasa sehingga selepas PRU nanti jika pembangkang masih di takuk yang sama," katanya.


Berikut kronologi peristiwa penting sepanjang 2016 membabitkan Dr Mahathir:

29 Februari
- Mengumumkan penarikan diri dari parti Umno berkuatkuasa serta-merta.
- Pada masa ini beliau memberi jaminan tidak akan menyertai mana-mana parti politik dan tiada hasrat untuk menubuhkan parti politik baharu.


4 Mac
- Mengetuai inisiatif Deklarasi Rakyat menyokong penyingkiran Najib.
- Ia turut mendapat sokongan Kit Siang, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Tun Dr Ling Liong Sik.


27 Mac
- Pertama kali berkongsi pentas dengan Kit Siang pada Kongres Rakyat 2016 di Shah Alam.


2 April
- Menyertai demonstrasi jalanan anti GST.


9 Mei
- Majlis Bersama Pemimpin Deklarasi Rakyat Selamatkan Malaysia. Dr Mahathir berkongsi pentas dengan Lim Guan Eng.


11 Jun
- Bersama Kit Siang ketika kempen PRK Sungai Besar.


12 Jun
- Bersama Kit Siang ketika kempen PRK Kuala Kangsar.


17 Jun
- Sekali lagi berkempen bersama Kit Siang di Sungai Besar.


24 Jun
- Kerajaan menghentikan bantuan kewangan kepada Yayasan Kepimpinan Perdana berkuat kuasa serta-merta.
- Keputusan itu dibuat susulan tindakan Pengerusi Kehormat Yayasan Kepimpian Perdana, Tun Dr Mahathir Mohamad menggunakan kemudahan yayasan tersebut sebagai platform untuk menjatuhkan kepimpinan Najib.


21 Julai
- Mengadakan sidang media bagi memaklumkan bahawa beliau akan menubuhkan parti politik baharu bersama Tan Sri Muhyiddin Yassin dan anaknya, Datuk Seri Mukhriz.
- Kit Siang turut hadir ke Yayasan Kepimpinan Perdana sebagai sokongan.


5 September
- Hadir perbicaraan kes Datuk Seri Anwar Ibrahim di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
- Kedua-dua mereka bersalaman selepas 18 tahun.


9 September
- Hadir ke pejabat RoS bagi mendaftarkan parti baharu.


28 Oktober
- Mengumumkan untuk menyertai perhimpunan Bersih5 di Kuala Lumpur.


8 November
- Sekali lagi mengadakan pertemuan dengan  Kit Siang pada sesi taklimat di Parlimen.


16 November
- Muncul dalam klip video sambil memakai kemeja-T Bersih5 bagi menyeru penyertaan orang ramai.


19 November
- Sejurus tiba dari luar negara, Dr Mahathir terus hadir ke perhimpunan Bersih5 di hadapan KLCC.


4 Disember
- Hadir sebagai tetamu kehormat di konvensyen DAP di IDCC Shah Alam.

Artikel Berikut

Artikel Lain