suria

Kesesakan Bermula Menjelang Krismas, Sambutan Tahun Baru

Selain kesesakan trafik di lebuhraya, kesesakan juga dijangka berlaku di pusat beli-belah dan di pusat-pusat pengangkutan awam. -fotoTHESTAR
KUALA LUMPUR: Jutaan rakyat Malaysia dijangka akan pulang ke kampung halaman atau pergi bercuti sempena cuti Hari Krismas dan sambutan Tahun Baru.

Pihak berkuasa lebuhraya mula mencatatkan peningkatan trafik bermula tengah hari Jumaat apabila sesetengah rakyat Malaysia mengambil cuti setengah hari untuk memulakan percutian lebih awal.

Trafik dari Kuala Lumpur ke Perak di Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) mula perlahan pada tengah hari, manakala beberapa kemalangan menuju ke utara telah menyebabkan kelewatan bagi pengguna di lebuhraya.

Pada pukul 4 petang, jurucakap Plus berkata trafik bergerak perlahan akibat kemalangan dari Bandar Casia ke Bukit Tambun, Slim River ke Sungkai, Bidor ke Sungkai dan Bertam ke Sungai Dua.

Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) melaporkan bahawa trafik juga bergerak perlahan ke Johor, dengan kemalangan besar melibatkan dua treler telah menghalang lorong kiri lebuh raya dari Simpang Renggam ke Sedenak.

Lebuhraya Pantai Timur, Jambatan Pulau Pinang dan Tambak Johor bagaimanapun berjalan lancar pada tengah hari.

Plus menjangkakan 1.6 juta kenderaan berada di jalan raya sempena Hari Krismas dan sambutan Tahun Baru.

Ia menasihatkan pengguna jalan raya untuk mematuhi jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) yang dikeluarkan Plus bagi mengelakkan kesesakan.

Pengarah Urusan Plus Malaysia Berhad Datuk Noorizah Abd Hamid berkata jumlah itu meningkat 14 peratus berbanding jumlah kenderaan pada hari biasa iaitu 1.4 juta sehari berikutan cuti umum itu bersambung dengan cuti hujung minggu dan cuti sekolah.

Pengguna boleh mendapatkan maklumat trafik terkini dengan menghubungi talian bebas tol PLUSLine 1800 88 0000, mengikuti laman Twitter PLUSTrafik atau memuat turun aplikasi 'PLUS Mobile' menerusi telefon pintar atau tablet.

Pengguna juga boleh menghubungi hotline Star Media Radio Group (SMRG) di 03-7725 1133 atau mengikuti trafik SMRG di Twitter di @mytraffic untuk mendapatkan maklumat terkini sebelum memulakan perjalanan.

Artikel Lain