suria

Kempen "Hari Tanpa Beg Plastik" Di Selangor Bermula Januari 2017

Elizabeth Wong (kiri) dan Timbalan Pengarah Seksyen Pihak Berkuasa Tempatan Unit Perancang Ekonomi Negeri, Mas Sakdah Kamaruzzaman melancarkan kempen Selangor Bebas Plastik di Shah Alam pada 21 Disember 2016.

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor akan memperluaskan kempen "Hari Tanpa Beg Plastik" selama tujuh hari seminggu bermula awal tahun depan, berbanding pelaksanaan pada setiap hari Sabtu seperti yang diadakan ketika ini, sekali gus mahu mencapai sasaran sebagai negeri bebas bekas polistirena sepanjang tahun 2017.

Langkah tersbeut diambil hasil kaji selidik Kerajaan Selangor yang mendapati sebanyak 71 peratus rakyat negeri ini merasakan kempen ‘Bebas Beg Plastik’ yang diadakan setiap pada Sabtu tidak memadai.

Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna, Elizabeth Wong Keat Ping berkata, kempen "Hari Tanpa Beg Plastik" yang akan bermula pada 1 Januari depan, memastikan peniaga di Selangor tidak lagi membekalkan bekas makanan polisterina serta mengenakan caj terhadap penggunaan beg plastik sebanyak RM0.20 kecuali terhadap beberapa barangan.

Malah katanya, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) telah meluluskan undang-undang untuk melarang sepenuhnya penggunaan polisterina di Selangor.

Berdasarkan peraturan tersebut, peniaga harus bersetuju untuk mengamalkan bebas plastik dan polisterina apabila memperbaharui lesen perniagaan.

“Denda maksimum RM1,000 akan dikenakan jika peraturan tersebut dilanggar termasuk dalam soal kebersihan dan lain-lain,” katanya di Majlis Pelancaran Kempen Selangor Bebas Beg Plastik dan Polistirena di sini pada Rabu.

Sebagai rekod, Elizabeth berkata, kesemua majlis rasmi dan bangunan Kerajaan Selangor telah menghentikan penggunaan beg plastik dan polisterina.

"Perubahan hanya boleh berlaku jika setiap lapisan masyarakat terlibat dalam usaha," katanya.

Sebagai tanda komited terhadap usaha tersebut, Kerajaan Negeri Selangor melancarkan laman web pendidikan iaitu www.bebasplastik.my untuk membolehkan orang ramai berikrar menyokong kempen bebas plastik selain menggalakkan golongan peniaga, peruncit dan pembekal menyertainya.

Kerajaan Selangor meletakkan sasaran untuk mengumpulkan sebanyak 20,000 ikrar menjelang tahun baru.

Elizabeth Wong

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain