suria

Perhimpunan Agung MCA Akan Undi Pindaan Sistem Pemilihan Pemimpin Pusat

Ong Ka Chuan.

KUALA LUMPUR: Perhimpunan Agung MCA Ke-63 pada 12 dan 13 November ini akan menyaksikan pengundian mengenai pindaan ke atas perlembagaan parti untuk meningkatkan jumlah perwakilan dalam pemilihan kepimpinan pusat.

Setiausaha Agung MCA Datuk Seri Ong Ka Chuan berkata cadangan baharu sistem pemilihan itu akan membenarkan 32,825 wakil bahagian, dipilih dalam kalangan anggota cawangan untuk memilih pemimpin pusat di pusat pengundian yang ditetapkan.

"Ini berbeza dengan sistem semasa, yang hanya 2,385 perwakilan, dipilih daripada bahagian, yang dibenarkan mengundi kepimpinan pusat di ibu pejabat.

"Matlamat akhir ialah untuk membenarkan setiap anggota untuk mengundi, tetapi sebelum kami mencapainya kami perlu memperluaskannya (sistem undian) untuk wakil  bahagian terlebih dahulu," beliau memberitahu pemberita di Wisma MCA di sini Jumaat.

Ong berkata pindaan ke atas perlembagaan parti itu memerlukan undi dua pertiga daripada perwakilan pada perhimpunan agung nanti.

Kali terakhir MCA meminda perlembagaannya ialah pada 2012 untuk membenarkan pemilihan parti ditunda kepada 36 bulan daripada 42 bulan, sebelum Pilihan Raya Umum ke-13.

Dalam 2004, perlembagaannya dipinda untuk mengehadkan tempoh seseorang presiden itu berkhidmat tidak lebih daripada sembilan tahun atau tiga penggal.

Ditanya mengenai gesaan sayap Pemudanya supaya MCA menerima bukan Cina sebagai anggota gabungan, Ong berkata cadangan itu memerlukan "sesi percambahan minda yang amat serius" kerana ia boleh mengubah prinsip asas perlembagaan parti, yang menyatakan hanya rakyat Malaysia berketurunan Cina boleh diterima sebagai anggota parti.

"Mungkin kita boleh bermula dengan sebuah kelab gabungan pada awalnya, seperti yang ada pada PAS, Kelab Penyokong PAS," katanya. - BERNAMA

MCA, Ong Ka Chuan

Artikel Lain