suria

Permohonan Dua Peguam Dari AS Untuk Mewakili Waris Penumpang MH370 Ditolak

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi menolak permohonan dua peguam dari Amerika Syarikat daripada mewakili 76 waris kepada 32 penumpang pesawat MH370 dalam perbicaraan kes saman kecuaian terhadap Malaysia Airlines System Berhad (MAS) dan empat pihak lain.

Hakim Datuk Hanipah Farikullah membuat keputusan itu selepas mendapati dua peguam berkenaan, Steven C. Marks dan Roy Kalman Altman selaku pemohon tidak memenuhi kriteria sebagai orang yang layak untuk mewakili kesemua waris kepada penumpang pesawat itu mengikut Seksyen 3 Akta Profesion Undang-Undang 1976.

"Kesemua plaintif (waris) boleh memanggil 'legal foreign expert' untuk memberi keterangan dan saya percaya peguam Tommy Thomas mempunyai pengalaman yang mencukupi untuk mengendalikan perbicaraan kes saman itu," katanya, Jumaat.

Hakim itu membuat keputusan berkenaan selepas mendengar hujahan daripada peguam Tommy mewakili dua peguam itu manakala peguam Saranjit Singh mewakili MAS dan peguam Sanjeev Kumar mewakili Malaysia Airlines Berhad (MAB).

Turut hadir Peguam Kanan Persekutuan Alice Loke bertindak bagi pihak ketua pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan kerajaan Malaysia manakala peguam Farez Jinnah mewakili Majlis Peguam.

Kedua-dua peguam berkenaan memohon supaya dibenarkan membantu mengendalikan kes saman itu kerana kepakaran mereka dalam mengendalikan kes melibatkan industri penerbangan.

Pada 7 Mac lepas, 76 waris itu telah memfailkan saman kecuaian terhadap MAS dan empat pihak selaku defendan berhubung kehilangan 32 anggota keluarga mereka semasa penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac 2014.

Mereka yang terdiri daripada 66 warga China, lapan warga India dan dua warga Amerika Syarikat yang merupakan waris kepada mangsa MH370 terdiri daripada 26 warga China, lima warga India dan seorang warga Amerika yang menaiki pesawat MH370 pada 8 Mac 2014 dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL dan dijangka mendarat di Beijing, China pada hari sama.

Dalam pernyataan tuntutan itu kesemua plaintif mendakwa kehilangan MH370 dan kematian 239 penumpang serta anak kapal di dalam pesawat itu adalah disebabkan kecuaian MAS.

Mereka menegaskan bahawa disebabkan tindakan salah oleh kelima-lima defendan, mereka telah mengalami kerugian dan kerosakan, kehilangan kasih sayang keluarga, kehilangan saraan kewangan dan mengalami kecederaan emosi dan trauma akibat insiden yang berlaku.

Kesemua waris penumpang itu turut memohon ganti rugi khas, am, teruk, kos pengkabungan, faedah dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.
MH370, peguam AS, waris MH370

Artikel Sebelum

Kenaikan BR1M Dialu-Alukan

Artikel Berikut

Artikel Lain