suria

SPRM Tahan Tiga Lagi Pegawai JANS

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM)  menahan tiga lagi pegawai Jabatan Air Negeri Sabah (JANS), menjadikan keseluruhan jumlah suspek yang ditahan setakat ini 27 orang.

Penahanan menerusi Ops Water Fasa II itu berlaku di diantara pukul  7 malam dan 11.45 malam di daerah suspek bertugas iaitu Lahad Datu dan Kota Kinabalu.

Semua terlibat ditahan berhubung siasatan kes penyelewengan dana infrastruktur bernilai RM3.3 bilion. 

"Ketiga-tiga mereka adalah Juruteknik Air di tiga daerah berlainan di Sabah ditahan semalam (Khamis) untuk membantu siasatan SPRM," kata sumber berkenaan.

Sumber itu berkata, menerusi operasi terkini yang dilancarkan, SPRM merampas wang tunai berjumlah kira-kira RM5.9 juta.

Kata sumber itu lagi, ketiga-tiga suspek direman tujuh hari bermula Jumaat.

"Perintah reman itu dikeluarkan Mahkamah Majistret Lahad Datu ke atas dua suspek, manakala seorang lagi di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu," katanya.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya(operasi)SPRM, Dato Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut.

Sejak Ops Water dilancarkan pada 4 Oktober lalu, sehingga kini pasukan penyiasat telah merakam percakapan 90 saksi.

Terdahulu, lima suspek yang ditahan pada fasa pertama Ops Water telah dibebaskan dengan jaminan selepas menjalani tempoh tahanan reman.

Lima suspek yang ditahan pada fasa pertama termasuk pengarah dan timbalan pengarah JANS, abang timbalan pengarah bergelar Datuk dan seorang akauntan serta penasihat Kementerian Kewangan Sabah yang juga bekas timbalan pengarah jabatan berkenaan.

Seterusnya, SPRM menahan 19 pegawai JANS dan mereka kini masih menjalani tahanan reman bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Sebelum ini, sejumlah wang tunai, barang kemas, geran tanah, kenderaan mewah dan beg tangan bernilai lebih RM150 juta telah dirampas.

Suspek utama iaitu dua pegawai kanan awam itu disyaki memberikan kontrak kepada beberapa syarikat yang dimiliki adik-beradik mereka, menyebabkan kontraktor lain tidak mendapat projek air di Sabah bernilai RM3.3 bilion dari kerajaan Persekutuan.



JANS, SPRM

Artikel Sebelum

Bajet2017: GST Kekal 6 Peratus

Artikel Berikut

TN50 Ganti Wawasan 2020

Artikel Lain