suria

Dua Pengkreditan Pembelajaran Pendekkan Tempoh Pengajian

Idris melihat buku garis panduan APEL (C) dan Pindah Kredit MOOC oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) di Kuala Lumpur pada Selasa. foto SAMUEL ONG/THE STAR

KUALA LUMPUR: Dua pengkreditan pembelajaran yang dilancarkan pada Selasa membolehkan individu yang menyambung pelajaran memendekkan tempoh pengajian berbanding pengajian biasa.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh berkata Accreditation of Prior Experiential Learning for Credit Award (APEL (C)) adalah bagi individu yang mempunyai pengalaman kerja atau menduduki kursus pendek tetapi tidak mempunyai kelayakan akademik.

Katanya satu lagi pengkreditan iaitu Massive Open Online Courses (MOOC) adalah untukpembelajaran dalam talian mendapat pindahan kredit bagi subjek dalam program akademik di institusi pengajian tinggi.

"Pendidikan fleksibel ini mengiktiraf pembelajaran secara bersemuka (face to face) dan pada masa yang sama menerima pendekatan pembelajaran secara alam maya (MOOC) dan pengalaman terkumpul oleh individu sepanjang hayat (APEL (C))," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis pelancaran garis panduan APEL (C)  dan  Pindah Kredit MOOC oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) di sini.

Beliau berkata jika dahulu hanya mereka yang mempunyai kelayakan formal seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) yang cemerlang sahaja boleh melanjutkan pelajaran, kini dengan APEL (C), pengalaman kerja tanpa kelayakan akademik boleh menjadi laluan ke menara gading.

Tambahnya, ia membuka peluang kepada sesiapa sahaja untuk menuntut ilmu.

Idris berkata garis panduan ini menjadikan Malaysia sebagai negara pertama di dunia yang melalui dasar nasional mengiktiraf pemberian kredit dan di luar negara, ia masih di peringkat percubaan.

"Perkara ini merupakan teknologi dan kaedah terkini pendidikan di mana ia mengalami perubahan ketara yang telah memasuki evolusi yang dinamakan pendidikan fleksibel," katanya.

Menurut Idris lagi, ia sejajar dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 yang menekankan pembelajaran dalam talian iaitu "Globalized Online Learning" bertujuan untuk meningkatkan kualiti pembelajaran, menjimatkan kos, mendedahkan kepakaran pendidikan Malaysia ke peringkat dunia dan menggalakkan pembelajaran sepanjang hayat di kalangan rakyat Malaysia.

Pengkreditan pembelajaran ini dibangunkan oleh MQA di bawah dua jawatankuasa pakar yang diketuai Datuk Prof Dr Amin Embi dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Dr Andy Liew Teik Kooi dari Wawasan Open University.

Setakat ini, pengkreditan pembelajaran ini hanya dilaksanakan di empat buah universiti yang telah diluluskan oleh MQA iaitu Universiti Teknologi Mara (UiTM), Open University Malaysia, Wawasan Open University dan Inti International University. - BERNAMA 

Artikel Berikut

Artikel Lain