suria

Lebih 100 Sertai Solat Jenazah Ghaib Haron Din

ARAU: Lebih 100 umat Islam di sini menunaikan solat jenazah ghaib untuk Allahyarham Datuk Dr Haron Din yang juga Mursyidul Am PAS, yang meninggal dunia di San Francisco, Amerika Syarikat pada Jumaat.

Solat jenazah ghaib anjuran PAS Perlis itu diadakan di Madrasah Addiniah Al-Islamiah (MADI), Kampung Jejawi Dalam, di sini, pada pukul 6.20 pagi Sabtu selepas solat subuh yang diimamkan Ustaz Abdullah Sabu.

Allahyarham Haron, 76, meninggal dunia pada pukul 10.10 pagi (waktu Malaysia) semalam di Hospital Stanford University, San Francisco akibat komplikasi jantung.

Malam Jumaat turut diadakan majlis tahlil yang disertai kira-kira 1,000 orang di Kompleks PAS Perlis di sini dan dipimpin Pesuruhjaya PAS Perlis, Mohd Shukri Ramli.

Jenazah Mursyidul Am PAS itu dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Five Pillars, Laughlin Road, Livermore, California, Amerika Syarikat pada pukul 10 pagi Jumaat waktu tempatan (kira-kira 1 pagi Sabtu waktu Malaysia).

Anak jati Perlis dari Kampung Behor Mali, di sini meninggalkan isteri Datin Khadijah Md Salleh, dua anak lelaki dan tiga anak perempuan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain