suria

Haron Din Guru Yang Teliti - KP Jakim

PUTRAJAYA: Allahyarham Datuk Dr Haron Din adalah seorang guru yang teliti dalam mendidik anak-anak muridnya, kata Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Tan Sri Othman Mustapha.

Katanya beliau masih ingat kata-kata Dr Haron, dekan di Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), ketika beliau (Othman) mengikuti pengajian dalam bidang syariah di universiti itu.

"Katanya jika kita membicarakan soal aqidah, tidak boleh dalam nada tinggi atau gelak ketawa. Nada perlu serius, rendah serta tidak boleh gopoh dan sentiasa tenang," katanya kepada pemberita selepas menyertai solat jenazah ghaib Dr Haron di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin (MTMZA), di sini Sabtu.

Kira-kira 500 jemaah menunaikan solat itu yang diimamkan oleh Timbalan Imam Besar MTMZA Ustaz Ehsan Mohd Hosni, selepas Solat Zohor.

Othman berkata negara kehilangan seorang tokoh agama yang banyak berjasa terutamanya dalam membantu Bank Negara Malaysia membangunkan bidang perbankan Islam.

"Allahyarham juga mengetuai kluster dakwah dalam Majlis Perundingan Islam (MPI) yang menentukan hala tuju program untuk memastikan gerakan dakwah dapat dilaksanakan dengan sempurna dan menyatu-padukan umat Islam," katanya.

Beliau berkata, Mursyidul Am PAS itu juga mempunyai ilmu yang tinggi dalam pelbagai bidang seperti feqah, tauhid dan kemasyarakatan.

Haron, 76, meninggal dunia pada 10.10 pagi semalam (waktu Malaysia) di Hospital Stanford University, San Francisco, Amerika Syarikat akibat komplikasi jantung.

Jenazah beliau disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Five Pillars, 1761 Laughlin Rd, Livermore, California, Amerika Syarikat pada 8.57 pagi Sabtu (waktu Malaysia).

Allahyarham meninggalkan isteri Datin Khatijah Salleh serta dua anak lelaki dan tiga anak perempuan. - BERNAMA 

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain