suria

MB Johor Pelawa Golongan Belia Beri Cadangan

KOTA TINGGI: Kerajaan negeri mengalu-alukan golongan dan persatuan belia untuk memberi cadangan bagi Bajet Johor 2017 yang dibentang November ini.

Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata cadangan atau pandangan berkaitan kegiatan sukerelawan yang mampu memberi manfaat kepada golongan belia boleh dikemukakan kepada exco belia negeri untuk tindakan selanjutnya.

"Kerajaan negeri kini sedang dalam peringkat menyediakan Bajet 2017, jadi saya berharap agar orang muda khususnya dapat memberikan cadangan.

"Ia (peruntukan) akan beri perhatian terhadap perkara-perkara yang diperjuangkan dan ingin dijayakan oleh 45 peratus golongan belia di negeri ini," kata beliau kepada pemberita selepas merasmikan Perhimpunan Hari Belia peringkat negeri 2016 di Laman Tun Sri Lanang, di sini, Sabtu.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Kebudayaan dan Warisan negeri Datuk Zulkurnain Kamisan; Pegawai Daerah Noorazam Osman; dan Presiden Majlis Belia Negeri Johor Manndzri Nasib.

Mohamed Khaled turut memaklumkan kerajaan negeri sedang menjalankan kajian Indeks Belia Johor (IBS) melibatkan 10,000 belia pelbagai kaum dari seluruh daerah di negeri ini.

"Kajian itu telah dijalankan bermula bulan lepas dan hasil kajian dijangka akan diperolehi penghujung tahun ini.

"Menerusi hasil kajian ini, kerajaan akan dapat menilai kehendak, keperluan, masalah serta suara hati belia sekaligus akan menjadikan ia asas kepada pembentukan Pelan Strategik Pembangunan Belia Johor pada masa depan," kata beliau.

Dalam majlis yang sama, beliau mengumumkan peruntukan tahunan sebanyak RM100,000 kepada Majlis Belia Negeri Johor bagi melaksanakan lebih banyak program melibatkan belia pada masa akan datang. - BERNAMA

Johor, Bajet

Artikel Berikut

Artikel Lain