suria

Johari Dilantik Ahli Lembaga Pengarah Khazanah

Johari Abdul Ghani.

KUALA LUMPUR: Menteri Kewangan II, Datuk Johari Abdul Ghani dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah Khazanah Nasional Berhad (Khazanah).

Khazanah dalam satu kenyataan berkata, Johari menggantikan bekas Menteri Kewangan II Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah yang berkhidmat sebagai Ahli Lembaga Pengarahnya dari 18 Mei 2009 hingga 15 September 2016.

Pelantikan itu dibuat pada Mesyuarat Lembaga Pengarah Khazanah Ke-80 pada 15 September 2016.

Menurut Khazanah, Johari mula menyandang jawatan Menteri Kewangan II pada 27 Jun 2016.

Sebelum itu, beliau merupakan Timbalan Menteri Kewangan.

Johari memulakan kerjayanya di firma perakaunan antarabangsa sebagai juruaudit.

Johari pernah memegang pelbagai jawatan kanan di beberapa syarikat tersenarai awam serta menyandang jawatan Pengarah Urusan di beberapa syarikat yang terlibat dalam industri makanan dan minuman, pertanian serta pembuatan.

Beliau juga kini Pengerusi Yayasan Bena Nusa yang ditubuhkan untuk mengurangkan kadar kemiskinan bandar serta meningkatkan tahap pendidikan bagi kanak-kanak daripada golongan miskin bandar.

"Beliau juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pemakanan Negara di Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani," kata kenyataan itu.

Selain itu, Johari adalah seorang akauntan bertauliah di bawah Persatuan Akauntan Bertauliah (ACCA).


Artikel Lain