suria

Jenazah Haron Din Dikebumikan Di San Francisco

PETALING JAYA: Jenazah Mursyidul Am PAS, Datuk Dr Haron Din, akan dikebumikan di tanah perkuburan Islam di San Francisco, California.

Jenazah tokoh perubatan Islam itu akan disembahyangkan di Masjid An-Nur di bandaraya itu.

Perkara itu dimaklumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, selepas mendapat pengesahan daripada keluarga Allahyarham.

"Baru bercakap dengan keluarga Datuk Dr Harun Din. Keluarga sepakat pengebumian (Allahyarham) di San Francisco (California, Amerika Syarikat). Solat jenazah di Masjid An-Nur di sana," katanya menerusi akaun Twitter rasminya, petang Jumaat.

Haron, 76, meninggal dunia pada pukul 10.10 pagi Jumaat waktu Malaysia.

Pengasas pusat rawatan Islam Darussyifa dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) sejak Rabu ketika menjalani rawatan jantung di hospital tersebut.

Haron berlepas ke AS pada 10 September lalu untuk mendapatkan rawatan susulan.

Allahyarham aktif menyertai PAS sejak 1974 sudah beberapa kali menerima rawatan komplikasi jantung sebelum ini.

Pada 2 April 2012, beliau telah menjalani pembedahan pintasan jantung di Hospital Stanford.

Mac lalu, beliau telah menjalani rawatan di Institut Jantung Negara di Kuala Lumpur.

Haron menggantikan Datuk Nik Aziz Nik Mat sebagai Mursyidul Am PAS pada Mac 2015.

Terdahulu, Pesuruhjaya PAS Perlis, Mohd Shukri Ramli, dilaporkan berkata Haron mengamanatkan kepada ahli keluarga dan rakan seperjuangannya di negeri itu untuk dikebumikan di AS jika ditakdirkan meninggal dunia di negara itu.

"Pesanan itu disampaikan Allahyarham di Pusat Rawatan Darussyifa di Santan, di sini, sebelum berlepas ke AS pada 10 September lalu," kata Mohd Shukri.


Haron Din, San Francisco

Artikel Sebelum

Artikel Lain