PDRM Syor Kerajaan Pinda Dasar Dadah Negara - KPN - Semasa | mStar

PDRM Syor Kerajaan Pinda Dasar Dadah Negara - KPN

Tan Sri Khalid Abu Bakar
NILAI: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesyorkan kepada kerajaan agar dasar dadah negara dipinda dengan turut memberi penekanan kepada pengedar dadah secara kecil-kecilan dalam usaha memerangi dadah secara holistik.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata perkara itu telah dibentangkan di peringkat Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan ia sedang diteliti kerana pindaan itu akan melibatkan kos infrastruktur kerana perlukan pertambahan pusat tahanan.

"Jadi bila kita masukkan ini dalam strategi kita, kita perlu wujudkan pusat-pusat tahanan, kita juga mungkin perlu minta mahkamah bicarakan kes dengan segera supaya kes dapat segera diselesaikan sekaligus kegiatan golongan pengedar ini dapat dibendung," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis Syarahan Umum CEO Faculty Programme 2016 mengenai Menerajui Advokasi Ke arah Keselamatan Negara Yang Dilestarikan Dalam Era Teknologi Dunia Tanpa Sempadan, di sini Rabu.

Khalid berkata kes melibatkan pengedaran dadah di peringkat bawahan biasanya tidak diambil tindakan di bawah Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas) 1985 dan apabila disabitkan mereka hanya menjalani hukuman bagi tempoh sekejap dan apabila bebas kembali jalankan kegiatan itu.

"Jadi saya rasa ada keperluan untuk golongan ini ditahan untuk satu tempoh yang lebih lama untuk menyekat kegiatan pengedaran dadah daripada terus berleluasa," katanya.

Selain itu, Khalid berkata dalam jadual satu hingga tiga di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 boleh dikatakan agak terkebelakang berikutan pakar-pakar yang memproses dadah pada hari ini semakin licik untuk menghasilkan dadah di luar takrifan jadual untuk mengelakkan mereka daripada dikenakan tindakan.

"Saya rasa ini biasa (dihadapi) oleh mana-mana negara sekalipun, mereka yang mencipta dadah ini akan mencipta sesuatu dadah yang boleh mengelakkan mereka daripada dikenakan tindakan undang-undang... dapat lari daripada takrif dadah berbahaya seperti yang telah digariskan dalam Akta Dadah Berbahaya," katanya.

Mengenai peningkatan statistik penyalahgunaan dadah dalam kalangan pelajar sekolah, Khalid berkata terdapat keperluan agar perkara berkaitan dadah dijadikan sebagai mata pelajaran di peringkat sekolah rendah.

"Saya pernah cadangkan dahulu agar dadah ni dijadikan sebagai satu mata pelajaran di sekolah rendah... sekarang ia hanya diterapkan di dalam subjek kokurikulum... begitu juga dengan pendidikan trafik (patut dijadikan mata pelajaran)," katanya.

Terdahulu ketika menjawab soalan daripada seorang peserta program mengenai peningkatan statistik penyalahgunaan dadah dalam kalangan pelajar sekolah, Khalid berkata dasar pemulihan penagih dadah juga perlu dilihat semula kerana ia dilihat seakan tiada kesan.

"Kita juga akan bawa perkara ini kepada kerajaan agar dapat dilihat semula," katanya.

Statistik Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman merekodkan 125 pelajar sekolah yang ditangkap kerana positif dadah dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Berdasarkan statistik, dari Januari hingga Julai tahun ini sebanyak 117,434 orang telah ditangkap atas pelbagai kesalahan berkaitan dadah dan ia menunjukkan peningkatan sebanyak 11 peratus berbanding tahun lepas sebanyak 105,000 orang ditahan.

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Culas bayar cukai kena penalti 300 peratus, ketahui 10 fakta penting Program Khas Pengakuan Cukai Secara Sukarela

HANGAT diperkatakan mengenai isu melunaskan cukai dan masih ada yang culas untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai pembayar cukai. 

default image

Jom kongsi idea! Penduduk bandar diajak beri maklum balas draf Pelan Pembangunan KL

TRAJEKTORI perumahan dan komersial Kuala Lumpur diberikan perhatian dengan mendraf Pelan Pembangunan Kuala Lumpur 2040 (PPKL 2040).

default image

WKB 2030 sasar taraf hidup lebih baik untuk rakyat di seluruh negara

WKB2030 adalah pelan 10 tahun yang diperkenalkan kerajaan dalam memastikan Malaysia terus berkembang dengan mampan.

default image

Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 sasar rapatkan jurang pendapatan rakyat... ini fakta penting yang anda perlu tahu

EKONOMI negara akan distruktur semula menerusi Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030).

default image

Penerima sulung Anugerah Ikon Pesara sebak imbau saat bersama kanak-kanak disleksia – “Persaraan berbaloi... ada jadi pilot, arkitek dan peguam”

KARNIVAL Rasa Sayang (KRS) 2019 anjuran KWAP membuka mata bakal pesara dan pesara untuk bergiat aktif selepas persaraan.

Artikel Lain