Waspada Tindak-Tanduk 'Agas-Agas' Politik - Salleh - Semasa | mStar

Waspada Tindak-Tanduk 'Agas-Agas' Politik - Salleh

Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak
KOTA BELUD: Bendahari Umno Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak mengingatkan anggota Umno agar sentiasa berhati-hati dan berwaspada terhadap tindak-tanduk beberapa individu yang dikiaskannya sebagai 'agas-agas politik' yang cuba merosakkan parti dengan mempolemikkan pelbagai isu.

Menteri Komunikasi dan Multimedia itu berkata beberapa 'agas-agas politik' yang dahulunya bersama-sama dalam perjuangan Umno, tetapi kini berpatah arang, telah bersekongkol dengan pembangkang dengan meniupkan pelbagai sentimen semata-mata untuk meraih simpati umum agar kekal mendapat perhatian.

"Kita harus bangkit dan menentang orang-orang ini, yang menjadi dalang dan petualang, merosakkan parti Umno, dan cuba-cuba menenggelamkan bahtera Umno dengan mempolemikkan cerita-cerita seperti 1MDB dan 'derma', DOJ dan rasuah, serta berbagai-bagai lagi helah politik yang cuba diputar belit.

"Orang-orang yang sudah berpaling tadah ini, yang berkelana membawa jiwa yang bercelaru, bukanlah pejuang sejati, tapi sebaliknya seperti burung helang yang terbang sekadar mengintai-intai peluang, apabila mendapat maka dibawanya pulang, tetapi apabila tidak mendapat, maka dia pun terbang menghilang," katanya ketika menyampaikan amanatnya pada Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Kota Belud di sini Sabtu.

Salleh yang juga Timbalan Ketua Perhubungan Umno Sabah turut mengibaratkan golongan ini sebagai 'ular bertukar kulit' kerana wataknya bertukar 90 darjah sebaik sahaja 'bertukar kulit' yang sanggup melakukan apa sahaja untuk menjatuhkan kerajaan secara tidak demokratik.

"Kalau dahulu tidak pernah pun bersuara memperjuangkan hak Sabah, tapi kini tiba-tiba cuba menjadi hero. Kalau dulu hanya berdiam sepi, tapi kini sibuk menjelajah ke seluruh negeri. Kalau dahulu mereka menjulang mempertahankan pimpinan, tapi kini melaungkan slogan menukar pemimpin dan kerajaan yang dipilih," katanya.

Menurut Salleh, untuk menukar sesuatu kerajaan, ia tidak boleh dilakukan secara sewenang-wenangnya seperti prinsip menukar baju kerana negara ini mengamalkan sistem demokrasi berparlimen, undang-undang dan perlembagaan, sistem perundangan dan kehakiman yang harus didukung dan dijunjung sepenuhnya oleh rakyat.

Bagaimanapun katanya golongan 'agas-agas politik' yang kecewa itu kini berusaha menjatuhkan kerajaan dengan menggambarkan Umno dan Barisan Nasional (BN) sebagai parti yang tidak boleh dijadikan sandaran meskipun Umno dan BN lah yang meletakkan mereka pada kedudukan sekarang.

Menurutnya, tidaklah keterlaluan untuk menyifatkan golongan berkenaan sebagai sudah lupa daratan serta dijangkiti penyakit 'alzheimer politik' yang mana mereka lupa akan jasa Umno yang memberi kehidupan kepada mereka selama ini.

Mengenai mesyuarat tahunan Umno berkenaan, Salleh yang juga Ketua Umno Bahagian Kota Belud berkata ia seharusnya dijadikan sebagai platform untuk menjelaskan isu-isu semasa kepada anggota parti di peringkat akar umbi bagi membolehkan mereka memahami isu berkenaan agar tidak mudah terkeliru dengan sebarang tohmahan pembangkang.

Salleh juga mengingatkan anggota Umno agar menggunakan media sosial dengan bijaksana serta tidak terikut-ikut dan terpengaruh dengan sikap pihak tertentu menyalahgunakan kebebasan menggunakan alat komunikasi itu untuk menabur fitnah serta mengaibkan orang lain termasuk pemimpin.

"Dalam hal ini, saya berharap rakyat terutama anggota Umno bijak menilai dan menapis maklumat yang kurang tepat atau tidak sahih, maklumat palsu, pembohongan, tohmahan dan fitnah yang dilemparkan oleh pihak tertentu melalui media sosial. Jangan sekali-kali kita salah guna media sosial. Contoh Sarawak Report," katanya.

Beliau turut mengulangi ikrar Umno Kota Belud untuk berdiri teguh di belakang kepimpinan Presiden Umno dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Ketua Menteri yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah, Datuk Seri Musa Aman dalam mengharungi apa juga cabaran, baik dari dalam mahupun luar parti demi agama, bangsa dan negara.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Penerima sulung Anugerah Ikon Pesara sebak imbau saat bersama kanak-kanak disleksia – “Persaraan berbaloi... ada jadi pilot, arkitek dan peguam”

KARNIVAL Rasa Sayang (KRS) 2019 anjuran KWAP membuka mata bakal pesara dan pesara untuk bergiat aktif selepas persaraan.

default image

Kata kuncinya semangat berpasukan, penganjuran julung kali perlumbaan perahu naga korporat PjH catat kejayaan berganda!

PERLUMBAAN perahu naga korporat anjuran Putrajaya Holdings membuka laluan kepada perlumbaan lebih besar pada masa akan datang.

default image

Culas bayar cukai kena penalti 300 peratus, ketahui 10 fakta penting Program Khas Pengakuan Cukai Secara Sukarela

HANGAT diperkatakan mengenai isu melunaskan cukai dan masih ada yang culas untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai pembayar cukai. 

default image

WKB 2030 sasar taraf hidup lebih baik untuk rakyat di seluruh negara

WKB2030 adalah pelan 10 tahun yang diperkenalkan kerajaan dalam memastikan Malaysia terus berkembang dengan mampan.

default image

Percutian travel tren janjikan servis 'awesome' dan 1,001 pengalaman menakjubkan!

TRAVEL serata dunia lebih pantas dengan menggunakan kapal terbang tetapi amat menyeronokan jika tren menjadi pilihan.

Artikel Lain

Nasharudin Mat Isa akan didakwa Selasa