suria

Tiada Rakyat Malaysia Cedera Dalam Letupan Di Hua Hin

BANGKOK: Tiada rakyat Malaysia terbabit dalam insiden letupan berganda di Hua Hin, bandar peranginan popular pinggir pantai, lewat malam tadi yang mengorbankan seorang wanita Thai dan mencederakan 20 orang lagi termasuk sepuluh pelancong asing.

Timbalan Ketua Balai Polis Hua Hin Lt Kol Samer Yusamran mengesahkan tiada rakyat Malaysia dalam senarai mangsa yang cedera akibat insiden dua letupan yang berlaku selang beberapa minit pada jam 10 malam tadi (waktu tempatan).

"Bom pertama meletup pada 9.59 malam manakala bom kedua pula meletup beberapa meter dari situ tidak lama selepas letupan pertama. Kedua-dua bom itu diledakkan menggunakan telefon bimbit memandangkan pihak berkuasa menjumpai serpihan telefon di lokasi kejadian," katanya kepada Bernama Jumaat.

Wanita Thai yang maut itu dikenal pasti sebagai seorang penjaja makanan manakala pelancong asing yang cedera pula termasuk lima rakyat Itali, tiga Belanda, seorang Australia dan seorang Jerman.

Samer berkata warga Thai yang cedera dalam insiden itu pula berjumlah sembilan orang, kebanyakan mereka adalah penjaja yang menjual barangan di tepi jalan di kawasan berkenaan ketika bom itu meletup, mengakibatkan beberapa orang daripada mereka cedera parah.
letupan Hua Hin, Samer Yusamran

Artikel Lain