suria

Penjenayah Ditembak Mati Selepas Empat Jam Tahan Tebusan

BATU PAHAT: Seorang penjenayah ditembak mati selepas empat jam menahan tebusan, seorang wanita yang merupakan pemilik kedai tembikar di Ayer Hitam di sini, malam Khamis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata dalam kejadian 8.20 malam Khamis, suspek dikatakan masuk ke kedai tersebut lalu meminta wang tebusan daripada mangsa yang berusia 53 tahun itu.

Selepas tidak berjaya, mangsa kemudiannya dijadikan tebusan di sebuah bilik di kedai tersebut dan pihak polis mengambil masa empat jam berunding dengan suspek lelaki yang berusia 44 tahun itu.

Beliau berkata meskipun wang tebusan sebanyak RM300,000 telah dibayar keluarga mangsa, suspek enggan melepaskan mangsa.

"Suspek kemudiannya bertindak menembak mangsa dan pada ketika itulah polis mengambil tindakan dan berjaya menembak mati suspek," kata beliau kepada pemberita di tempat kejadian, di sini, awal pagi ini.

Kamarul Zaman berkata polis yang melepaskan tembakan sebanyak dua das mengenai kepala suspek menyebabkan suspek mati serta-merta pada kira-kira 12.30 tengah malam.

Bagaimanapun, mangsa terselamat tetapi mengalami trauma dan dihantar ke Hospital Sultanah Nora Ismail di sini.

Polis turut menemukan dua pucuk pistol jenis revolver dan semi auto Smith and Wesson yang berisi peluru.

"Hubungan antara mangsa dan suspek, kami masih siasat. Mungkin mereka kenal, mungkin mangsa kenal suspek," kata Kamarul Zaman dan menambah motif suspek masih disiasat.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Culik 1961 dan Seksyen 8 Akta Senjata Api 1971 (Penalti Lebih Berat).
tahan tebusan, tembak mati, kes culik

Artikel Lain