suria

Tiada Keistimewaan Langkau Giliran Tunai Haji - Asyraf Wajdi

Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki
KOTA BAHARU: Tabung Haji (TH) tidak pernah memberi keistimewaan kepada mana-mana individu untuk melangkau giliran bagi menunaikan haji, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Beliau berkata bagi menjalankan proses giliran secara telus, TH turut bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Tidak ada istilah kuota menteri ke, kuota timbalan menteri ke, kuota siapa-siapa kerana Tabung Haji sentiasa memastikan segala proses ini dijalankan secara telus dan dipantau secara terus oleh SPRM sendiri.

"Jadi tidak timbul isu-isu yang dimainkan oleh media sosial seolah-olah ada pilih kasih atau keistimewaan tertentu yang diberi oleh pihak tertentu," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas menghadiri majlis mengucapkan selamat jalan kepada jemaah haji di Kompleks Islam Jubli Perak, Panji, di sini malam Khamis.

Majlis yang dirasmikan Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob itu turut dihadiri Pengerusi TH Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim dan anggota Lembaga TH Tan Sri Shukry Mohd Salleh.

Pada majlis itu, 150 bakal haji menaiki penerbangan dari Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa dan transit di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 12.05 pagi sebelum menaiki penerbangan seterusnya ke Madinah pada 4.05 pagi tadi.

Seramai 1,600 jemaah haji dari Kelantan akan menunaikan rukun Islam kelima itu pada musim haji kali ini.
Asyraf Wajdi seterusnya berkata 76,000 rayuan dibuat oleh pendaftar TH untuk menunaikan haji tahun ini namun kekosongan yang ada hanyalah 3,695.

"Kekosongan ini berikutan ada pendaftar yang menolak untuk menunaikan haji pada tahun ini atas pelbagai faktor. Tidak pernah berlaku siapapun yang telah diberikan giliran mereka bagi tahun tertentu, tiba-tiba mereka ini dikeluarkan daripada giliran (sewenang-wenangnya)," katanya.

Mengenai caj visa kepada individu yang ingin menunaikan umrah atau haji bagi kali kedua dan seterusnya seperti yang dilaporkan media Arab Saudi, Asyraf Wajdi berkata belum ada maklumat rasmi mengenai perkara itu daripada kerajaan Arab Saudi mahupun kedutaan Arab Saudi di Malaysia.

Artikel Sebelum

Artikel Lain