suria

Takiyuddin Tegur Ahli PAS Tak Tahu Perlembagaan Parti

Sebahagian perwakilan PAS yang hadir sepanjang Muktamar PAS di Putik, Kelantan.

KOTA BARU: Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan menegur sikap kebanyakan ahli yang tidak mengetahui isi kandungan perlembagaan parti itu.

Beliau berkata, keadaan itu menyebabkan usaha membudayakan perlembagaan PAS perlu dilaksanakan kepada semua anggota parti.

"Walaupun kita dah lama jadi ahli PAS, masih ada tak baca perlembagaan atau jarang-jarang baca.

"Nak dekat pemilihan parti atau mesyuarat agung baru nak tengok perlembagaan sedangkan ia digubal oleh pimpinan kita sebelum ini cukup elok, cukup sempurna," katanya.

Beliau berkata demikian semasa ucapan penggulungan pada Muktamar Tahunan PAS Ke-62 di Pusat Tarbiyah Islamiyah Kelantan (Putik) dekat sini, Jumaat.

Sehubungan itu, Takiyuddin berkata, PAS Pusat melancarkan program aplikasi baharu yang dinamakan sebagai 'Touch n' Get' antaranya mengandungi maklumat berkaitan perlembagaan parti.

"Dalam telefon kita pun boleh ada perlembagaan parti dengan memuat turun aplikasi Touch n' Get. Ia cukup berguna," katanya.

Menurut Takiyuddin, beliau baru-baru ini menjadikan aplikasi itu sebagai rujukan perlembagaan berhubung status Pemeriksa Kira-Kira 2, Jamel Saring yang menandatangani Penyata Kewangan Pemuda selepas menyertai Parti Amanah Negara (Amanah).

"Ketika itu saya tak ada (bawa) buku perlembagaan. Jadi, saya buka telefon dan lihat aplikasi serta jumpa satu peruntukan mengenai perkara itu.

"Ia menunjukkan betapa pentingnya perlembagaan ini kepada kita dan sebagai panduan dalam menguruskan parti," katanya.

Takiyuddin Hassan, PAS, Touch n' Get

Artikel Lain