suria

Mosti Sedia Salur Dana Biaya R&D Faedah Gaharu Sebagai Rawatan Kanser

JOHOR BARU: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) bersedia menyalurkan dana kepada syarikat perladangan dan pengeluaran gaharu, Asia Plantation Capital Bhd (APC), untuk membiayai pembangunan penyelidikan faedah kayu gaharu sebagai rawatan penyakit kanser.

Timbalan Menterinya Datuk Dr Abu Bakar Mohamad Diah berkata, penyaluran dana terbabit selaras dengan matlamat Mosti yang menyasarkan sebanyak 360 produk inovasi berimpak tinggi untuk dikomersialkan menjelang tahun 2020.

"Menerusi perbincangan, pihak pengurusan APC mengatakan bahawa kayu gaharu mungkin boleh menjadi satu daripada penawar kanser.

"Jadi, saya beritahu, Mosti boleh membiayai program penyelidikan dan pembangunan (R and D) anti kanser itu menerusi dana TechnoFund sehingga RM3 juta," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan kilang pemprosesan dan penyulingan gaharu terbesar di Asia Tenggara serta pusat penyelidikan gaharu milik APC di Kawasan Perindustrian Masai, Bandar Seri Alam, di sini Khamis malam.

Abu Bakar berkata penanaman pokok gaharu dan penghasilan produk daripada gaharu bukan sesuatu yang baharu di negara ini, malah penyelidikan berkenaan gaharu semakin giat dilakukan sejak lima tahun kebelakangan sehingga menghasilkan pelbagai produk baharu, seperti barangan kosmetik.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif APC Asia Pasifik Steve Watts berkata pihaknya melabur sebanyak AS$30 juta untuk membangunkan kilang dan pusat penyelidikan di kawasan seluas 44,000 meter persegi.

"Sudah setahun kilang pemprosesan kayu gaharu kami beroperasi. Pelaburan melibatkan jutaan ringgit ini adalah perkara penting untuk perluasan strategik syarikat dalam keupayaan perladangan dan pengeluarannya di Malaysia.

"Dalam beberapa tahun akan datang, sejajar dengan program perluasan kami, kami menjangkakan APC akan menjadi pengeksport dan majikan utama di Malaysia selain penyumbang kejayaan besar kepada negara ini," katanya.

Watts berkata selain kilang dan pusat penyelidikan itu, APC setakat ini sudah menanam hampir 14,000 pokok gaharu di ladang syarikat itu di kawasan seluas empat hektar dekat Batu Pahat.

Beliau berkata pokok terbabit sudah ditanam sejak lapan bulan lepas dan bersedia untuk dituai dalam jangka masa tujuh tahun akan datang.-- Bernama

Mosti, APC, gaharu, kanser

Artikel Berikut

Artikel Lain