suria

Kastam Rampas Dadah RM500,000 Dalam Paket Teh Cina

Gambar Hiasan

KOTA KINABALU: Kastam Sabah merampas kira-kira satu kilogram dadah jenis methamphetamine yang dianggarkan bernilai RM500,000 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), 19 Mei lepas.

Pengarahnya Datuk Dr Janathan Kandok berkata dadah itu disembunyikan dalam beg pakaian seorang lelaki warga tempatan berumur 20 tahun ketika melalui kaunter pemeriksaan kastam di KKIA selepas tiba dari Kuala Lumpur kira-kira pukul 2.50 petang.

"Ketika beg suspek diimbas, anggota kastam mendapati ada imej mencurigakan dan meminta lelaki berkenaan membuka beg itu.

"Dadah berkenaan dijumpai dalam satu paket minuman teh Cina yang disimpan di celah pakaian," katanya kepada pemberita di sini, Isnin.

Menurut Dr Janathan, berikutan penemuan itu, lelaki berkenaan ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Dr Janathan berkata sejak 2012 hingga tahun ini, sebanyak 18 rampasan dadah jenis methamphetamine dan ganja bernilai kira-kira RM14 juta dilakukan.

Katanya, daripada jumlah rampasan itu, 12 kes direkodkan di Kota Kinabalu, Sandakan (4) dan Tawau (2).

"Daripada semua kes itu, 21 suspek telah ditahan dengan 12 daripadanya adalah warga Malaysia," katanya.

Dr Janathan berkata, daripada jumlah suspek itu, enam daripadanya adalah wanita dan sembilan suspek telah dijatuhi hukuman gantung, manakala selebihnya masih dalam proses mahkamah. --Bernama


teh Cina, KKIA, dadah, Dr Janathan Kandok

Artikel Lain