suria

Penganggur Ditahan Dipercayai Conteng Mural Di Laman Kreatif Kluang

Antara mural yang dihasilkan di Laman Kluang Kreatif1020 yang mendapat perhatian ramai.

JOHOR BARU: Polis menahan seorang lelaki semalam, dipercayai melakukan perbuatan khianat dengan menconteng empat mural di Laman Kluang Kreatif1020 di belakang sebuah bank di Jalan Datuk Teoh Siew Khor, dekat Kluang, Selasa lepas.

Ketua Polis Daerah Kluang Asisten Komisioner Mohamad Laham berkata, lelaki terbabit yang merupakan seorang penganggur berumur 26 tahun, ditahan 4.30 petang di hadapan sebuah kompleks beli-belah di bandar Kluang.

"Anggota polis menahan lelaki terbabit selepas bertindak atas maklumat awam. Polis turut merampas satu tin semburan cat berwarna hitam daripadanya," katanya menerusi kenyataan, Isnin.

Mohamad berkata terdahulu, pihaknya turut menerima satu laporan daripada pengadu iaitu pembantu penguat kuasa Majlis Perbandaran Kluang (MPK), pada Selasa lepas, yang mendapati empat mural di Laman Kluang Kreatif1020 tersebut diconteng dengan semburan cat berwarna hitam.

Beliau berkata siasatan mendapati penganggur terbabit tidak mempunyai rekod jenayah, namun, dia akan dirujuk ke hospital bagi menjalani pemeriksaan kesihatan kerana dipercayai mengalami masalah mental.-- Bernama



Artikel Lain