suria

PM Umum Dana RM78 Juta Bina Pasar Payang Baharu

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak (kiri) tertarik dengan baju batik di sebuah kedai sewaktu melawat Pasar Besar Kedai Payang sempena lawatan kerja ke Terengganu, Isnin. Turut kelihatan Menteri Besar Ahmad Razif Abdul Rahman (dua,kanan).

KUALA TERENGGANU: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan peruntukan RM78 juta daripada kerajaan pusat bagi pembinaan Pasar Besar Kedai Payang yang baharu di sini.

Najib berkata, projek yang akan dilaksanakan oleh Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu dijangka siap pada 2018.

Katanya, projek berkenaan adalah bagi menggantikan pasar sedia ada yang dilihat semakin uzur dan pada masa sama memberi keselesaan kepada para peniaga dan pengunjung.

"Dengan pelaksanaan projek ini, ia dapat memberi keselesaan kepada para peniaga (dan pengunjung) dan saya yakin ia akan menjadikan industri pelancongan (Terengganu) akan lebih maju (pada masa depan)," katanya.

Najib berkata demikian selepas melakukan tinjauan ke pasar itu sempena lawatan kerja sehari beliau ke negeri ini, Isnin. 

Turut mengiringi beliau pada lawatan selama sejam itu ialah Menteri Besar, Ahmad Razif Abdul Rahman, barisan exco kerajaan negeri dan pegawai jabatan dan agensi kerajaan negeri dan pusat.

Terdahulu, lebih 10,000 penduduk sekitar Kuala Terengganu serta peniaga di Pasar Besar Kedai Payang menyambut kedatangan beliau yang tiba pada pukul 9.15 pagi tadi.

Najib turut berkesempatan membeli keropok lekor, bersarapan dan beramah mesra bersama orang ramai di pasar yang menjadi tumpuan pelancong di negeri ini.

Beliau kemudian meluangkan masa selama 30 minit bersama masyarakat Cina di Kampung Cina yang terletak berdekatan pasar berkenaan.

Najib kemudian bergerak menuju Universiti Malaysia Terengganu (UMT) bagi merasmikan program Ijtimak Pondok.-- Bernama

Artikel Lain