suria

PRK Sungai Besar: Tiada Sebarang Ugutan - Takiyuddin

Takiyuddin Hassan.

PETALING JAYA: PAS tidak mengeluarkan sebarang ugutan berikutan kenyataan bahawa parti itu sedia keluar dari kerajaan negeri Selangor berhubung Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar, kata Setiausaha Agung, Datuk Takiyuddin Hassan.

Takiyuddin berkata, kenyataan presiden parti, Datuk Seri Hadi Awang bahawa parti itu sedia meninggalkan kerajaan Selangor merupakan "hanya respons" dan rakan parti pembangkang seharusnya menghormatinya.

"Setakat yang kami tahu, kami tidak pernah mengeluarkan sebarang ugutan. Apa yang kami dengar ialah sebuah parti mengancam untuk menyingkirkan anggota exco PAS sekiranya kami bertegas untuk bertanding dalam pilihan raya kecil, dan ia bukannya rasmi.

"Apa yang presiden kami katakan bukan satu ugutan, ia sekadar respons kepada apa yang kami dengar daripada sumber tidak rasmi dan tiada yang secara langsung," katanya kepada The Star Online.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali dilaporkan mengeluarkan kata dua kepada PAS supaya memberikan laluan kepada calon PKR bertanding di PRK Sungai Besar atau tiga exconya dipecat.

Takiyuddin berkata, adalah tidak adil untuk membuat dakwaan bahawa PAS memberi ancaman kepada parti lain, sedangkan ia tidak berlaku.

Beliau berkata, parti akan membuat keputusan pada mesyuarat bulanannya mengenai sama ada parti itu akan berjumpa dengan PKR untuk rundingan atau tidak.

"Kami tidak pernah mempunyai sebarang perbincangan rasmi dengan PKR. Apapun yang berlaku sehingga kini hanyalah perjumpaan antara PKR dan pemimpin kami dan ia tidak rasmi," katanya.

Pada Ahad malam, Hadi dilaporkan sebagai berkata, parti itu akan meneruskan untuk mengisi calon pada PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

Takiyuddin yang merupakan Ahli Parlimen Kota Baru menegaskan bahawa kedua-dua kerusi itu "berhak bagi PAS untuk bertanding."

"Adalah jelas bahawa kedua-dua kerusi boleh dianggap sebagai milik PAS, kerana kami bertanding pada kerusi ini dalam Pilihan Raya Umum yang lalu.

"Ia merupakan persefahaman antara parti dalam Pakatan Rakyat.

"Menurut status quo (Pakatan Rakyat), ia merupakan persetujuan bersama bahawa kerusi-kerusi itu dimiliki oleh mereka yang bertanding pada pilihan raya yang lepas, melainkan ia dipersetujui sebaliknya.

"Sepatutnya, ahli PKR atau Parti Amanah Negara (Amanah) yang seharusnya menghormati kedudukan kami. Kami tidak akan bertanding pada kerusi mereka dan mereka tidak patut katakan PAS tidak seharusnya bertanding (di Sungai Besar)," katanya.

PAS, Takiyuddin Hassan

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain