Belacan Miri Buah Tangan 'Rebutan' Pelancong - Semasa | mStar

Belacan Miri Buah Tangan 'Rebutan' Pelancong

Udang geragau atau 'bubuk' menjadi ramuan utama bagi pembuatan Belacan Miri.

MIRI: Sebut sahaja nasi 'Lalapan' di Miri, pastinya keenakan sambal belacannya yang begitu unik dan istimewa tidak akan dilupakan oleh sesiapa sahaja yang merasainya.

Lantaran itu, belacan Miri yang merupakan bahan utama untuk memberi keenakkan rasa sambal nasi Lalapan itu, menjadi buah tangan, 'rebutan' pelancong terutama dari Semenanjung untuk dibawa pulang.

Istimewanya belacan Miri terletak pada rasanya yang lebih enak, selain mempunyai aroma unik sebagaimana belacan Bintulu dan Kuching yang juga terkenal dalam kalangan pelancong.

Menurut pembuat belacan Suriani Abdullah, 45, penggunaan kaedah tradisional dengan menggunakan alu dan lesung dapat menghasilkan belacan yang lebih enak.

"Bagi menjimatkan masa dan tenaga, sudah ramai yang menggunakan mesin penghancur untuk memproses ramuan utamanya iaitu udang geragau atau 'bubuk', namun cara tradisional dapat menjadikannya lebih harum dan sedap," katanya.

Suriani, yang juga penjaja di Tamu Kedayan Miri, berkata kebanyakan belacan Miri adalah buatan tangan oleh suri-suri rumah dan tiada kilang memproses belacan di sekitar kawasan ini.

"Sekiranya dibuat dengan tangan, ia rasa lebih sedap dan aromanya lebih harum kerana kualiti udang geragau dipilih sendiri oleh pembuat-pembuatnya di rumah," katanya.

Katanya belacan Miri boleh didapati dalam pelbagai bentuk dari seberat 100gm, 150gm, 200gm dan 300gm dengan harga antara RM3 hingga RM10.

Suriani menunjukkan produk yang dihasilkan menggunakan udang geragau. - fotoBERNAMA

Pengusaha belacan, Arnie Herman, 42, berkata bulan Februari dan Mac merupakan musim bubuk yang ditunggu-tunggu oleh pembuat belacan untuk mendapatkan bubuk lebih segar untuk menghasilkan belacan dan cencaluk.

"Pada ketika itulah pembuat-pembuat belacan akan menghasilkan stok-stok belacan dalam kuantiti yang banyak untuk dijual sepanjang tahun," katanya.

Berkongsi resepi menghasilkan belacan Miri, Arnie berkata proses penghasilan bermula dengan mencampurkan udang geragau dengan garam kasar dan gula pasir.

Katanya, udang geragau yang sudah dicampur dengan garam dan gula tadi diperap dalam tong satu hingga dua malam sebelum diramas bagi membuang air.

"Kemudiannya, hasil perapan itu akan dijemur di bawah sinaran matahari dan ditutup dengan jaring halus untuk aspek kebersihan.

"Selepas dijemur selama setengah hari, geragau tadi ditumbuk di dalam lesung sehingga teksturnya sedikit hancur sebelum kembali dijemur keesokannya," katanya.

Katanya, proses menumbuk dan menjemur itu perlu diulangi sebanyak tiga kali sehingga campuran geragau itu bertukar menjadi doh yang keras.

Arnie, yang masih menggunakan kaedah tradisional untuk menghasilkan belacan berkata, setiap empat kilogram geragau boleh menghasilkan sekilogram belacan.

Menurutnya cara pembuatan belacan memerlukan ketelitian dan bahan segar iaitu bubuk bagi memastikan rasa belacan lebih sedap.

"Semakin lama belacan itu diperap atau disimpan maka aroma dan teksturnya akan lebih baik lagi, jangka hayatnya boleh menjangkau sehingga lima tahun bergantung kepada cara penyimpanan," katanya.

Katanya, bubuk perlu dijemur setiap pagi hingga lewat petang terutama dalam keadaan cuaca panas terik ketika ini bagi menghasilkan belacan yang berkualiti.

"Kami turut perlu memastikan udang geragau segar dan bersih dan langsung tidak boleh bercampur dengan anak ikan ketika ditangkap keluar bagi mengelakkan rasanya bertukar menjadi pahit," katanya.

Penjaja Tamu Muhibbah, Doris Tiing, 40, berkata belacan Miri merupakan produk terlaris selain beras dan garam dari Bario.

"Kebanyakan daripada belacan Miri dihasilkan dari rumah, ia tidak ditambah dengan bahan-bahan asing seperti monosodium glutamat (MSG) dan bahan kimia lain serta ia lebih enak kerana dibuat secara tradisional. - BERNAMA

belacan Miri , PRN Sarawak , lalapan

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Subsidi untuk rakyat hidup selesa, ketahui fakta penting mengenai inisiatif ini

KOS sara hidup semakin meningkat dan kerajaan prihatin untuk mengurangkan beban rakyat.

default image

Penerima sulung Anugerah Ikon Pesara sebak imbau saat bersama kanak-kanak disleksia – “Persaraan berbaloi... ada jadi pilot, arkitek dan peguam”

KARNIVAL Rasa Sayang (KRS) 2019 anjuran KWAP membuka mata bakal pesara dan pesara untuk bergiat aktif selepas persaraan.

default image

Pelan Pembangunan KL... inilah harapan warga kota

INFRASTRUKTUR dan pengurusan bandar yang lebih baik merupakan perkara teratas dalam senarai Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 (PSKL) yang ingini penduduk Kuala Lumpur.

default image

Culas bayar cukai kena penalti 300 peratus, ketahui 10 fakta penting Program Khas Pengakuan Cukai Secara Sukarela

HANGAT diperkatakan mengenai isu melunaskan cukai dan masih ada yang culas untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai pembayar cukai. 

default image

Ketahui 8 petunjuk bagi memantau manfaat WKB 2030 dikongsi rakyat

INDIKASI sosial sedang dibina bagi memastikan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) memenuhi sasaran dan memberi manfaat kepada semua.

Artikel Lain