suria

BN Tidak Terima Calon Bebas - Najib

Najib Tun Razak bersalaman dengan penduduk rumah panjang ketika melakukan tinjauan mesra di Rumah Panjang Long Jegan, pada Sabtu. Foto: Bernama

MIRI: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Barisan Nasional (BN) tidak akan menerima calon Bebas sebagai anggotanya walaupun mereka menang pada Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-11 (PRN-11), 7 Mei ini.   

Perdana Menteri berkata calon Bebas tidak boleh berbuat apa-apa jika mereka menang sekalipun.

"Jadi, kita ada dua calon yang kita boleh sokong iaitu calon langsung BN di Bekenu (Rosey Yunus) dan calon BN di Lambir, Ripin Lamat," katanya ketika mengadakan perjumpaan dengan kira-kira 2,300 penduduk tempatan di Sibuti, Bekenu, 50km dari sini, Sabtu.

Rosey dan Ripin turut hadir pada majlis tersebut.

Rosey, penyandang kerusi itu akan ditentang calon PKR dan dua calon Bebas, manakala Ripin berdepan calon PAS dan PKR.

Najib turut merasmikan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Sibuti, yang merupakan RTC kedua di Sarawak selepas RTC Betong.

Justeru itu, Najib mahu pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bekenu dan Lambir menggunakan kuasa undi mereka dengan bijak demi menjamin masa depan yang cerah.

Beliau berkata pembangkang hanya boleh menabur janji dan mengapi-apikan hati rakyat, tetapi tidak mampu menunaikan janji mereka.

Pada majlis yang sama, beliau mengumumkan peruntukan RM94.8 juta bagi menyalurkan bekalan air di DUN Bekenu, yang akan bermula selepas pertengahan tahun ini.

Kemudahan ini akan memberi faedah kepada beberapa kampung termasuk Kampung Niah dan Kampung Mandau dekat sini, katanya.

Perdana Menteri turut meluluskan peruntukan RM1.5 juta, masing-masing untuk membina Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) bagi zon Bekenu dan zon Lambir.

Najib Tun Razak, Calon Bebas, BN

Artikel Sebelum

Artikel Lain