suria

Kabinet Lulus Dermasiswa Untuk 714 Pelajar Cemerlang SPM 2015

Dr Wee Ka Siong.

PUTRAJAYA: Ada berita gembira untuk kira-kira 714 pelajar cemerlang yang memperoleh keputusan 9A+ ke atas dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu.

Kesemua pelajar tersebut akan diberikan dermasiswa untuk melanjutkan pengajian dalam program pra-univeriti di dalam negara, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Program yang ditawarkan itu termasuk Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia, Martikulasi, Asasi Sains dan A-Level.

Dr Wee berkata Kabinet memutuskan perkara itu semasa mesyuarat di sini Jumaat.

Pada Selasa, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengumumkan hanya 250 pelajar yang memperoleh keputusan 9A+ ke atas akan menerima dermasiswa untuk melanjutkan pengajian di dalam negara.

Pengumuman itu menyebabkan 464 lagi terpaksa melupakan hasrat tersebut.

"Keputusan Kabinet pada hari ini memberi nafas lega kepada semua pelajar dan ibu bapa mereka.

"Kami berterima kasih kepada perdana menteri di atas keputusan ini," kata Dr Wee.

Beliau berkata Datuk Seri Najib Tun Razak mengarahkan agar keputusan awal itu dikaji semula dan ibu bapa berterima kasih di atas arahan terkini itu.

Dr Wee turut menyifatkan keputusan terbaharu itu sebagai 'amat penting dan keputusan terbaik' dalam situasi pada hari ini.

Di Johor Baru, Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai turut berterima kasih kepada perdana menteri dan Kabinet berhubung kelulusan itu.

"Ini akan membantu para pelajar untuk terus cemerlang dalam pendidikan dan berkhidmat demi negara setelah tamat pengajian mereka.

"Mereka adalah anak muda dan aset berharga kepada negara," katanya.

Perubahan dermasiswa itu timbul selepas pengumuman dibuat Najib semasa pengubahsuaian Bajet 2016 pada Januari lalu.

Najib kemudian mengumumkan seramai 744 pelajar SPM 2013 dibawah program dermasiswa itu hanya akan ditaja melanjutkan pengajian di dalam negara dan tidak lagi dihantar ke luar negara walaupun mendapat tempat dari universiti terkemuka dunia.

Sementara itu, status biasiswa untuk calon SPM 2015 masih samar memandangkan mereka hanya menerima keputusan peperiksaan pada awal bulan Mac lalu.

Mereka hanya dimaklumkan bahawa tempat adalah terhad pada Selasa.

Hanya 20 pelajar terbaik SPM 2015 akan ditaja bagi melanjutkan pengajian peringkat Ijazah Pertama di universiti terkemuka dunia.


Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain