suria

Najib Kongsi Kisah Kejayaan Usahawan Kaum India

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Jumaat meluangkan masa mendengar kisah kejayaan beberapa usahawan kaum India dengan bantuan kerajaan melalui Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) dan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM).

Najib bersama-sama Ketua Pegawai Eksekutif Sekretariat Khas Untuk Memperkasakan Usahawan India (SEED) Datuk Dr A.T. Kumararajah petang tadi berada di Restoran Sri Mayuri, Shah Alam untuk berjumpa dan mendengar kisah mereka.

Perdana Menteri yang amat tertarik dengan kisah keusahawanan mereka yang terdiri daripada pelbagai latar perniagaan itu telah berkongsi kisah mereka menerusi catatan di blognya NajibRazak.com.

"Pemilik Restoran Sri Mayuri di tempat kami berjumpa, Puan Lakshmi dan suami, Encik Ravi Rajagopal dahulunya bermula dengan menjual roti dengan menggunakan motosikal.

"Perniagaan makanan dan minuman mereka dikembangkan kepada gerai makanan di Taman Sri Muda dan seterusnya restoran di Seksyen 33, Shah Alam," katanya dan menurutnya pasangan itu kini mempunyai lima cawangan restoran di Lembah Klang.

Katanya Lakshmi menyatakan impiannya mungkin tidak akan menjadi realiti tanpa bantuan SEED dan TEKUN dan dalam tempoh 2004 sehingga 2013, pasangan itu  menerima tiga pinjaman berjumlah lebih RM50,000 untuk mengubah suai restoran dan menaik taraf dapur.

Najib turut berkongsi kisah pesara Edaran Otomobil Nasional Berhad, Erdaya Rajoo yang bermula dengan kebun di Semenyih dengan menjalankan perniagaan ternakan dan sayur-sayuran secara kecil-kecilan.

"Hidup beliau diuji apabila isteri beliau meninggal dunia dan beliau terpaksa membesarkan empat orang anak secara sendiri. Namun, berbekalkan semangat dan keazaman, beliau bangkit dan mula mendapatkan sokongan SEED selepas mendengar mengenainya dari radio dan sahabat-sahabat beliau," katanya.

Menurutnya, pesara itu membeli lembu ternakan dan mengembangkan tanaman sireh sebagai perniagaan utama menerusi pinjaman daripada TEKUN sebanyak RM40,000, kini memiliki ladang seluas lima ekar di Pajam, Negeri Sembilan.

"Saya diberitahu, beliau juga memiliki dan membiayai sebuah rumah kebajikan untuk anak-anak yang kurang bernasib baik di Kajang iaitu Pertubuhan Kebajikan Astana. Encik Erdaya Rajoo yang berjiwa besar ini menjaga dan membesarkan 28 anak-anak dengan menggunakan hasil keuntungan daripada perniagaan beliau," katanya.

Najib turut tersentuh dengan kehadiran seorang usahawan kelainan upaya yang dikenali sebagai Prakash yang menjalankan perniagaan latihan dan motivasi.

Katanya, walaupun membesar dalam serba kekurangan, ia tidak menghalang Prakash untuk memiliki dua sarjana dan kini melanjutkan pelajaran di peringkat doktor falsafah dalam bidang Terminologi Perundangan.

"Semangat dan minat dalam bidang motivasi diteruskan dengan memohon dana sebanyak RM5,000 dengan bantuan SEED Start Up Nation. Paling menarik, beliau sudah berjaya mendapatkan kontrak latihan bersama Syarikat Zurich. Beliau berhasrat untuk terus menjadi ikon kepada orang kelainan upaya yang lain untuk terus berjaya," katanya.

Selain itu, Perdana Menteri turut menceritakan perihal Prema Rajoo yang meninggalkan kerjaya sebagai guru tadika dan mengusahakan perniagaan rempah kecil-kecilan bersama suami.

"Hidup beliau diuji apabila suami terlibat dalam kemalangan dan tidak dapat membantu beliau. Melalui seorang sahabat, beliau mendapat pengetahuan mengenai bantuan SEED dan Amanah Ikhtiar Malaysia dan mendapat pinjaman sebanyak RM36,900 dalam lima kumpulan pinjaman berbeza.

"Pinjaman ini membolehkan beliau melabur dalam mesin baharu dan tenaga kerja untuk membantu beliau. Saya dimaklumkan jumlah pendapatan beliau kini kira-kira RM6,000 sebulan," katanya.

Najib berkata beliau gembira mendapat tahu bahawa sehingga kini, kira-kira 24,000 usahawan India telah menerima bantuan pembangunan melalui SEED kerana ini adalah satu pencapaian yang membanggakan.

"Saya juga kagum melihat bagaimana usahawan-usahawan ini bukan sahaja berjaya dalam bidang perniagaan mereka, malah ramai di antara anak-anak mereka kini menjawat jawatan profesional dan turut berjaya dalam bidang yang diceburi masing-masing.

"Perubahan taraf hidup keluarga sebeginilah yang kita mahukan agar generasi ini akan menjadi bangsa yang berjaya dan kita dapat juga melihat kesinambungannya ke generasi yang seterusnya," katanya.

Beliau berharap agar usahawan-usahawan itu akan terus menjadi inspirasi dan menggalakkan lebih ramai lagi dalam kalangan komuniti India untuk menceburi bidang perniagaan dengan idea dan perancangan yang kreatif dan inovatif juga.

"Insya-Allah, kerajaan akan terus membantu menerusi pelbagai insentif dan dana yang telah disediakan," katanya.


SEED merupakan sebuah unit yang memantau dan memberi latihan kepada usahawan dalam kalangan komuniti India.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain