suria

Cuaca Panas Disambut Dengan Senyuman

Zaib Alip, dari Kampung Pantai Chempaka, Kuantan memeriksa ikan masin yang dijemurnya.
SABAK BERNAM: Ketika ramai yang mengharapkan cuaca panas segera berakhir, ada juga yang melihatnya sebagai satu rahmat.

Salah seorang daripada mereka adalah Chia Chen Teck, 71, pengeluar udang kering selama lebih 30 tahun di Kampung Nelayan Bagan, Sekinchan di sini.

"Semakin panas semakin baik! Cuaca panas baik untuk mengeringkan udang.

"Sekurang-kurangnya 500 kilogram udang kering dapat diproses setiap hari.

"Februari dan Mac adalah bulan untuk meraih hasil tinggi daripada udang," katanya, sambil menambah dia akan bangun pada pukul 4 pagi setiap hari dan bekerja sehingga malam bagi memanfaatkan sepenuhnya cuaca panas.

Kelvin Quay, 30, yang mengendalikan perniagaan memproses dan mengedar ikan masin juga tidak kisah dengan panas terik.

"Cuaca panas paling sesuai untuk mengeringkan ikan masin dan rasanya juga lebih bagus," katanya.

Dia menawarkan 20 hingga 30 jenis ikan masin daripada ikan kembung, ikan tenggiri dan belut kepada pelanggan. Dia dapat mengeringkan sehingga 1,000 tan ikan setiap hari.

Quay berkata dia mengambil alih syarikat bapanya yang memulakan perniagaan 20 tahun lalu, dan menjadi syarikat paling lama menjalankan perusahaan ini di kampungnya.

Tetapi dia tidak berhasrat meminta anak-anaknya meneruskan perniagaan keluarganya ini.


"Kerja ini susah. Saya mahu mereka mendapat pendidikan yang baik dan mempunyai pekerjaan yang lebih selesa, bukannya membanting tulang di bawah matahari seperti saya," katanya.

Di Kuala Terengganu, panas terik juga membuatkan usahawan-usahawan keropok mengukir senyum.

Ramai daripada mereka, termasuk yang terlibat dalam perusahaan kecil dan sederhana di Pengkalan Setar di sini, melihat fenomena El Nino sebagai rahmat tersembunyi kerana keropok mereka dapat kering lebih cepat dan pendapatan mereka melambung tinggi.

Nor Mahni Abd Ghani, 42, berkata panas terik membantunya dari segi meningkatkan kualiti dan kuantiti produk. Ia juga membantu dalam meningkatkan jangka hayat dan tarikh luput keropok.

"Perniagaan ini sangat memerlukan cuaca seperti ini terutama selepas musim tengkujuh yang melembapkan perniagaan," katanya ketika ditemui Khamis.

Pada hari biasa, Nor Mahni berkata mengeringkan keropok mengambil masa selama lapan jam, tetapi kini proses pengeringan dapat dikurangkan hampir separuh.

Zainab Awang, 65, yang lebih dikenali sebagai Mak Nab Keropok, dan telah menceburi perniagaan ini selama lebih 30 tahun berkata keropok yang dihasilkan pada masa sekarang akan bertahan lebih lama dan kurang cenderung untuk berkulat.

Di Kuantan, cuaca terik juga disambut baik oleh pembekal ikan masin yang gembira kerana produk mereka akan kering lebih cepat.

Seorang penduduk di Kampung Pantai Chempaka, Zaib Alip, 61, berkata, biasanya dia akan mengambil masa selama 10 jam untuk mengeringkan ikan masin tetapi hari ini, ia hanya mengambil masa lapan jam atau kurang.

Walau bagaimanapun, Zaib, yang membekalkan ikan masin ke pasar malam, perlu mengekalkan rasa dan kualiti ikan masinnya kerana kualitinya dianggap kurang baik jika ia terlalu kering.

"Pelanggan saya tidak suka membeli ikan masin 'terlebih kering'. Saya perlu menetapkan masa semasa proses pengeringan untuk mendapatkan kualiti yang betul," katanya.

Zaib berkata bagi setiap kilogram ikan segar, beratnya perlu dikurangkan sebanyak tiga kali ganda dan itu merupakan kualiti terbaik ikan masin.

Artikel Lain