suria

Pewarta Bernama Di India Meninggal Dunia Akibat Komplikasi

M. Santhiran. Foto Bernama

KUALA LUMPUR: Pewarta luar negara Bernama di India, M. Santhiran meninggal dunia awal pagi Ahad, setelah mengalami beberapa komplikasi ketika dirawat di Hospital Primus Chanakyapuri, New Delhi.

Santhiran, 48, dimasukkan ke hospital berkenaan sejak Jumaat, selepas mengalami cirit-birit.

Anak sulung mendiang, S.Ruthran, 18, ketika dihubungi Bernama di sini berkata, bapanya disahkan meninggal dunia pada 11.40 malam waktu tempatan (waktu Malaysia 2.10 pagi).

"Bapa saya memang menghidap kencing manis sejak lapan tahun lepas dan mengalami beberapa komplikasi seperti masalah buah pinggang serta tekanan darah rendah," katanya yang kini berada di New Delhi.

Mayat mendiang akan dibawa pulang ke tanah air sebaik proses pengurusan jenazah selesai dan dijangka disemadikan di Puchong, Selangor.

Santhiran menyertai Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) pada Oktober 2002 dan bertugas sebagai pewarta luar negara di India bermula 1 Februari 2015.

Beliau meninggalkan isteri, Malarvili a/p Dorasamy, 47, dan dua anak lelaki termasuk S.Nahvin, 16. - Bernama

Artikel Berikut

Artikel Lain