suria

Pengusaha Bauksit Akur Arahan Moratorium - Ketua Polis Pahang

KUANTAN: Tidak ada sebarang pelanggaran arahan moratorium perlombongan bauksit yang dikesan berlaku di sini sejak ia dikuatkuasakan 15 Januari lepas.

Ketua Polis Pahang Datuk Seri Sharifuddin Ab Ghani berkata hasil pemantauan yang dilakukan secara bersepadu bersama beberapa agensi penguat kuasa yang lain mendapati semua pihak termasuk pemandu lori akur dengan arahan penggantungan sementara aktiviti itu.

"Kami masih meneruskan pemantauan 24 jam di sembilan pusat pemeriksaan di daerah ini dan esok (12 Mac) kami akan membuat pertukaran 90 anggota dan pegawai PGA Hulu Kinta yang bertugas di situ sebelum ini dengan anggota Batalion 4 PGA, Semenyih," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan majlis serah terima tugas Ketua Cawangan Khas Pahang antara DCP Datuk Riduan Hashim kepada SAC Mohd Shuhaily Mohd Zain di sini Jumaat.

Sembilan lokasi yang terlibat ialah Bukit Kuantan, Tanjung Pasir, Kampung Padang, Taman Dato' Rashid, Shahpadu, berhadapan Pejabat Sirim di Jalan Pintasan Kuantan, Bukit Penggorak, Sungai Ular dan Jabor.

Pusat pemeriksaan itu diwujudkan sejak 9 Januari lepas bagi memantau sebarang pergerakan lori bauksit sepanjang tempoh moratorium itu dilaksanakan selama tiga bulan sehingga 15 April.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain