suria

APO2016: Media Sosial Bawa Pengaruh Besar

KUALA LUMPUR: Penggunaan media sosial secara meluas di kalangan penggiat pelbagai industri diakui memberi pengaruh yang besar dalam kehidupan masyarakat hari ini.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Media Star, Datuk Seri Wong Chun Wai berkata, industri media turut tidak ketinggalan dengan perkembangan berkenaan dalam usaha menyalurkan maklumat.

Sehubungan itu katanya pengiktirafan sewajarnya harus diberikan kepada peneraju pelbagai bidang yang menggunakan media sosial sebagai platform untuk berikteraksi dengan masyarakat.

Wong bersama Mohd Aminuddin Mohd Rouse (tengah) dan Faziani Rohban Ahmad.
"Kita tidak dapat menafikan bahawa penggunaan media sosial meninggalkan pengaruh yang besar ke atas kehidupan seharian.

"Kami sebagai penggiat media termasuklah media online terpanggil untuk menggunakan platform ini bagi menganjurkan satu acara gilang gemilang yang memberikan pengiktirafan kepada mereka yang popular dan menjadi peneraju di dalam bidang masing-masing di media sosial," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Anugerah Pilihan Online 2016 (APO 2016) di sini, Khamis.

Hadir sama pada majlis itu ialah Pengerusi Kumpulan Radio Star, Datuk Dr Mohd Aminuddin Mohd Rouse, Pengasas Dnars, Faziani Rohban Ahmad dan Pengarang Eksekutif mStar Online, Rozaid Abdul Rahman.

Selain itu menurut Wong, APO 2016 akan mengiktiraf peneraju utama media sosial sama ada golongan pengiat seni hiburan, bintang sukan, usahawan  muda dan juga selebriti online yang menggunakan capaian media digital dan sosial dalam kehidupan mereka.

"Jadi dengan pelancaran APO 2016 ini, kami berharap akan dapat memeriahkan lagi platform digital di negara kita dengan satu pengisian yang bermakna dalam memberi pengiktirafan kepada mereka yang selama ini menjadi popular dan mendapat perhatian ramai para pengguna internet, para pelayar alam maya dan juga media sosial," katanya.

APO2016 yang dikendalikan portal berita mStar Online dan Suria FM dengan tajaan produk kosmetik Dnars memperkenalkan 18 kategori membabitkan sembilan dalam bidang hiburan, tiga kategori sukan dan lima lagi kategori gaya hidup.

Anugerah yang bertemakan Glam Digital itu bakal bersiaran secara langsung di TV2 pada 30 April depan.

Wong Chun Wai, #APO2016, #ApoNi?

Artikel Lain