suria

Calon Peroleh A Dalam Semua Mata Pelajaran SPM Menurun

PUTRAJAYA: Seramai 9,721 orang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2015 mendapat keputusan cemerlang (Gred A+, A, A-) dalam semua mata pelajaran, namun menurun 0.25 peratus berbanding 11,289 calon pada 2014.

Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Seri Dr Khair Mohamad Yusof berkata Indeks Gred Purata Nasional (GPN) 2015 turut mencatatkan penurunan 0.07 kepada 5.15 berbanding 5.08 pada 2014.

Nilai GPN yang lebih kecil menunjukkan pencapaian yang lebih baik.

"Penurunan jumlah calon yang mendapat keputusan cemerlang dalam semua mata pelajaran dan penurunan GPN bukan satu kelemahan yang ketara dan signifikan. Ia adalah dalam julat yang dibenarkan iaitu 3 peratus," katanya dalam sidang media bagi mengumumkan analisis keputusan SPM 2015, di sini, Khamis.

"Ia juga menggambarkan turun naik prestasi murid dan berlakunya fluctuation (turun naik). Penurunan ini juga dipengaruhi jumlah calon yang menduduki SPM 2015 yang lebih rendah iaitu 440,682 calon berbanding 455,839 calon pada tahun 2014," katanya.

Khair berkata faktor yang turut menyumbang kepada penurunan calon yang mendapat keputusan cemerlang dan GPN ialah perubahan dalam format soalan.

"Sekarang ada soalan aras tinggi berbanding sebelum ini, yang soalan sekarang memerlukan kemahiran berfikiran kreatif," katanya.

Berdasarkan analisis keputusan, Indeks GPN menunjukkan penurunan iaitu dari 4.93 pada tahun 2013 kepada 5.08 (2014) dan 5.15 (2015).

Beliau berkata Kementerian Pendidikan akan meneruskan usaha dalam pengajaran dan pembelajaran di sekolah.

"Saya percaya setiap negeri akan membuat analisis di negeri masing-masing dan menilai kaedah pengajaran guru sama ada sesuai dengan keperluan kurikulum, pentaksiran dan sejauh mana murid-murid (pelajar) menguasai soalah-soalan yang diberikan.

"Dua perkara yang akan diberi fokus ialah kaedah guru mengajar dan cara murid belajar. Kita akan memastikan berlakunya peningkatan kemajuan," kata Khair.

Pada tahun lepas, beliau berkata seramai 346,681 calon (84.9 peratus) yang mendaftar sekurang-kurangnya enam mata pelajaran layak dianugerahkan sijil, dengan 316,506 orang (91.3 peratus) ialah calon sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), manakala selebihnya 30,175 (8.7 peratus) adalah calon selain sekolah KPM.

Beliau berkata jurang pencapaian calon di bandar dan luar bandar mengecil 0.05 iaitu 0.50 pada 2015 berbanding 0.55 pada 2014.

Dalam pada itu, tujuh calon berkeperluan khas memperoleh keputusan cemerlang dalam semua mata pelajaran yang diduduki, seorang pelajar buta, rabun (empat orang) dan lain-lain kecacatan (dua), katanya.

Sementara itu Khair berkata pakar pentaksiran dari luar negara berpuas hati dengan proses pembinaan instrumen, pemeriksaan skrip jawapan peperiksaan dan Mesyuarat Penentuan Standard telah dilaksanakan dengan penuh profesionalisme dan kredibiliti.

Pakar pentaksiran berkenaan kialah daripada Cambridge International Examinations (CIE), United Kingdom, New Zeland Qualifications Authority (NZAQ), New Zealand dan Pearson, United Kingdom, kata Khair"Mereka juga berpendapat bahawa kesemua proses tersebut menepati ciri-ciri piawaian pentaksiran pendidikan dan telah diurus secara sistematik bagi memastikan kesahan dan kebolehpercayaan keputusan peperiksaan yang tinggi," katanya.

Beliau berkata kerjasama Lembaga Peperiksaan dengan CIE United Kingdom memberi peluang kepada 211,179 calon (51.9 peratus) berjaya memperoleh GCE-O Level bagi mata pelajaran Bahasa Inggeris pada tahun 2015.

"Sijil tersebut yang diiktiraf oleh Common European Framework of Reference (CEFR) for Languages membolehkan calon berkelayakan SPM melanjutkan pelajaran ke inistitusi pengajian tinggi di luar negara," katanya.

Selain itu, beliau berkata 43,896 calon daripada sejumlah 76,072 calon menduduki mata pelajaran Prinsip Perakaunan layak menerima sijil LCCI Level 2 Book Keeping and Account, kerjasama Lembaga Peperiksaan dan Pearson, UK.

Khair berkata calon boleh menyemak keputusan SPM 2015 mereka melalui khidmat pesanan ringkas (mySMS) atau melayari portal Lembaga Peperiksaan di www.lp.edu.my.

SPM

Artikel Lain