suria

Ibu Campak Bayi Baharu Lahir Dari Tingkat 18

Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR: Seorang wanita mencampakkan bayi perempuannya dari tingkat 18 sebuah blok rumah pangsa di Danau Kota, Setapak, dekat sini sejurus selepas melahirkannya.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintenden Roy Suhaimi Sarif berkata penduduk menemui mayat bayi yang sedang terbaring di atas rumput dan urinya dalam jarak 30 meter kira-kira pukul 8.30 pagi Isnin.

"Polis mengesan ibu mangsa di tingkat 18 Blok C rumah pangsa berkenaan. Terdapat kesan darah dari tandas sehingga ke balkoni.

"Wanita berusia 39 tahun itu menyewa unit rumah pangsa itu bersama pasangan berkahwin. Dia tinggal bersama anak perempuannya berusia lima tahun.

"Dia pengsan apabila ditahan," kata Roy Suhaimi.

Menurut Roy Suhaimi, wanita tersebut dipercayai melahirkan bayi tersebut kira-kira pukul 3 pagi dan 4 pagi Isnin.

Pasangan yang menyewa bersama di rumah pangsa itu terdengar bunyi raungan wanita tersebut dari dalam bilik air dan bergegas membantunya.

"Mereka melihat dia mengalami pendarahan tetapi tidak mengetahui bahawa dia baharu sahaja melahirkan anak. Mereka memimpinnya masuk ke dalam bilik dan cuba membantunya tetapi dia tiba-tiba berkelakuan kasar.

"Mereka berkata sikapnya berubah dengan drastik dan menyalahkan mereka kerana membantunya. Mereka tidak mengetahui wanita itu hamil kerana sentiasa fikir dia berbadan besar.

"Kami percaya dia mencampakkan bayinya sejurus selepas melahirkannya," kata Roy Suhaimi.

Beliau berkata wanita tersebut yang juga bekerja sebagai ejen hartanah dan berasal dari Negeri Sembilan dalam proses untuk bercerai dengan suaminya.

Dia menyewa rumah pangsa tersebut sejak November tahun lalu.

Wanita itu dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk menjalani pemeriksaan mental.

rumah pangsa, campak, bayi

Artikel Sebelum

Anugerah CSR KER1M

Artikel Berikut

Artikel Lain