suria

Sepasang Suami Isteri, Budak Tiga Tahun Maut Dalam Kebakaran

KUCHING: Sepasang suami isteri dan seorang kanak-kanak berusia tiga tahun maut dalam satu kebakaran di tingkat tiga sebuah rumah kedai di Lorong Bandar Baru Kota Samarahan, kira-kira 30 kilometer dari sini, tengah hari Isnin.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak Nor Hisham Mohammad berkata ketiga-tiga mayat itu ditemukan di dalam bilik tidur rumah kedai itu yang terbakar 80 peratus.

Katanya bomba menerima panggilan pada 12.23 tengah hari daripada orang awam dan tujuh anggota dari Balai Bomba Kota Samarahan bergegas ke lokasi kejadian.

"Ketiga-tiga mangsa ditemui terbakar 90 peratus. Mangsa pertama seorang kakitangan Jabatan Imigresen Sarawak dikenali sebagai Saruji Arip, 42, ditemui di atas katil.

"Mayat isterinya Saidatul Farhanah Mohd Yusof, 29, pula ditemui di depan pintu, dipercayai mangsa cuba untuk membuka pintu bilik tersebut," katanya kepada Bernama.

Selain dua mangsa itu, turut maut ialah seorang kanak-kanak Mohamad Norhaqimi Mohd Ziqri Zairi yang mayatnya ditemui di bawah katil dipercayai terjatuh, katanya.

"Identiti kanak-kanak itu masih cuba dikenal pasti bagi menentukan hubungan dengan pasangan suami isteri itu," katanya.

Beliau berkata siasatan lanjut sedang dilakukan sama ada semua mangsa meninggal dunia akibat kebakaran atau disebabkan perkara lain.

"Hanya bilik tidur di rumah berkenaan terbakar. Siasatan dilakukan kerana api kebakaran tidak begitu besar namun mangsa didapati gagal keluar. Sewaktu pihak bomba tiba, kebakaran sudah padam dan hanya tinggal bara api pada tilam dan beberapa tempat lain," katanya.--Bernama

Artikel Lain