suria

Kursus Marxisme Tidak Dibenarkan - KPN

PETALING JAYA: Pihak polis tidak akan membenarkan Kursus Marxisme Kilat (kursus Marxisme) yang akan diadakan bulan depan, kata Tan Sri Khalid Abu Bakar.

"Usaha-usaha untuk mempromosikan ideologi komunisme. @PDRMsia Tidak akan membenarkan kursus ini diadakan. Penganjur akan dihubungi," kata Ketua Polis Negara di laman Twitter pada hari Ahad.

Khalid turut berkongsi poster yang mengiklankan kursus Marxsisme di akaun Twitter rasminya itu.

Poster tersebut menunjukkan gambar sosialis Karl Marx dengan butir-butir acara yang bakal berlangsung pada 20 Mac pukul 9 pagi di GerakBudaya, Petaling Jaya.

Menurut ahli jawatankuasa Parti Sosialis Malaysia (PSM) S. Arutchelvan, kursus ini dianjurkan bersama Gabungan Kiri atau Gabungan Kiri Malaysia (MLC).

"Parti Sosialis Malaysia dengan Gabungan Kiri memperkenalkan Kursus Marxisme Kilat untuk memberi pengenalan terhadap Marxsisme dan ia amat relevan pada hari ini, serta memberi alternatif kepada fahaman kapitalis," jelas Arutchelvan atau dikenali sebagai Arul di laman Facebooknya pada Ahad.

Dalam satu kenyataan pada Ahad, Arul mendedahkan bahawa ini bukan kali pertama PSM dituduh sebagai menghidupkan semula fahaman komunis.

"Malah pada tahun 2011, semasa kemuncak perhimpunan Bersih 2, enam ahli PSM ditahan selama sebulan di bawah Ordinan Darurat. Mereka semua dibebaskan tanpa caj," katanya, sambil menambah pihak parti telah mendakwa polis yang terlibat dalam kejadian itu.

Beliau berkata, dengan larangan agar majlis itu tidak diteruskan, ia dianggap "sekali lagi serangan ke atas hak demokrasi dan kebebasan bersuara".

Bagaimanapun Arul berkata, PSM akan bekerjasama dengan pihak polis, jika dipanggil berkaitan dengan majlis itu.

Katanya, PSM mematuhi undang-undang dan menggalakkan demokrasi sosial.

"Untuk makluman, kursus Marxsisme diajar hampir semua universiti-universiti utama di seluruh dunia," katanya.

Arul menjelaskan bahawa PSM merancang untuk menyediakan kursus kepada orang ramai, dan tidak ada niat untuk mewujudkan kursus rahsia bawah tanah.

Beliau menekankan bahawa topik utama kursus berkenaan adalah kritikan Marxsisme mengenai sistem kapitalis, dan juga perbincangan tentang kegagalan negara-negara "zalim komunis" seperti rejim Pol Pot, Korea Utara dan lain-lain.

Artikel Lain