suria

"Tiada Rasuah Dalam Perjanjian Scorpene" Kata Razak Baginda Kepada Akhbar Asing

PETALING JAYA: Penganalisis politik Abdul Razak Baginda berkata ketika dibayar €30 juta pound (RM138 juta) untuk berunding mengenai perjanjian kapal selam Scorpene pada tahun 2002, tiada sesen pun dari wang itu digunakan untuk merasuah pegawai-pegawai.

Abdul Razak memberitahu Financial Times bahawa beliau telah membayar sejumlah dari wang itu untuk berunding mengenai tawaran Perancis, melobi dan pelaksanaan penyeliaan selama lapan tahun.

"Ia adalah perjanjian yang sah. Saya melakukan kerja saya dan saya dibayar untuk itu," katanya.

"Dan saya tidak pernah membayar mana-mana pegawai," kata Abdul Razak, yang dituduh sebagai orang tengah dalam perjanjian pertahanan dengan Amerika bernilai AS$1.2bil (RM4.9bilion).

Abdul Razak, yang kini merupakan pengarah Yayasan Keamanan Islam, sebuah badan amal yang berpangkalan di Britain berkata beliau tidak pernah menjadi penasihat berbayar kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang merupakan Menteri Pertahanan pada masa itu.

Katanya, beliau telah menulis ucapan untuk Najib dan telah menemani beliau dalam lawatan ke luar negera, tetapi 'jarang-jarang' bercakap dengan beliau mengenai perjanjian kapal selam itu secara santai.

Abdul Razak berkata demikian bagi menjawab dakwaan bekas Presiden Thales International Asia, Bernard Baiocco Disember lalu mengenai 'rasuah aktif pegawai-pegawai awam asing yang berkaitan dengan Najib Razak'.

Akhbar yang berpangkalan di London itu juga melaporkan bahawa pejabat pendakwa Paris mengesahkan Baiocco telah diletakkan di bawah siasatan rasmi kerana disyaki 'merasuah pegawai-pegawai awam asing' dan 'bersubahat dalam penyalahgunaan aset korporat'.

Siasatan itu adalah berkaitan dengan penjualan sepasang kapal selam serangan jenis Scorpene dari usaha sama antara Thales dan syarikat pertahanan DCN, kini dikenali sebagai DCNS.

Penerbitan ini juga melaporkan bahawa pendakwa Perancis sedang menyiasat dakwaan salah laku terhadap Najib dalam perjanjian kapal selam.

Peguam Baiocco, Jean-Yves Le Borgne, berkata anak guamnya mengaku wang itu dibayar kepada Abdul Razak untuk kerja-kerja melobi tetapi menuduh pendakwa kini sedang mencuba, dalam usahanya untuk membuktikan tunai telah diberi kepada Najib atau mana-mana pegawai kerajaan.

"Tidak ada rasuah. Wang yang dibayar oleh syarikat klien saya kepada Mr Baginda adalah untuk melobi," kata Le Borgne.

"Mereka (pendakwa) mengesyaki menteri menerima wang tetapi mereka tidak dapat membuktikan apa-apa."

The Financial Times memetik seorang jurucakap kerajaan Malaysia yang menolak tuduhan terhadap Najib sebagai 'tuduhan tidak berasas untuk kepentingan politik'.

Jurucakap itu menambah bahawa Perdana Menteri tidak mendapat sebarang manfaat daripada bayaran berkaitan dengan kontrak itu.

Artikel Sebelum

27,000 Anak Ayam Rentung

Artikel Berikut

Artikel Lain