suria

Penarafan UI Greenmetric: UPM Ke-17 Terbaik Dunia Pada 2015

SERDANG: Universiti Putra Malaysia (UPM) dipilih sebagai Kampus Kelestarian Terbaik Asia oleh Universitas Indonesia (UI) GreenMetric World University Ranking 2015.

Mengikut penarafan GreenMetric yang diumumkan Jumaat lepas, UPM disenarai sebagai universiti ke-17 terbaik di dunia berdasarkan usaha gigihnya untuk memastikan kelestarian kampus dan pengurusan alam sekitar yang efektif.

Melalui catatan rekod baharu, ini merupakan lonjakan terbesar UPM pada tahun lepas berbanding ranking ke-41 pada tahun sebelumnya.

University of Nottingham muncul kampus kelestarian terbaik dunia, diikuti oleh University of Connecticut dan University of California, Davis menduduki ranking ketiga.

UI GreenMetric Ranking of World Universities ialah yang pertama dan satu-satunya penarafan yang menilai komitmen setiap universiti yang mengambil bahagian dalam membangunkan infrastruktur yang mesra alam sekitar.

Penarafan mengenai kelestarian alam sekitar mengambil kira lebih 40 indikator, mencakupi 6 skop utama, terdiri daripada infrastruktur (15 peratus), tenaga dan perubahan iklim, (21 peratus), sisa buangan (18 peratus), air (10 peratus) dan pendidikan (18 peratus).

Dalam satu kenyataan, Naib Canselor UPM, Prof Datin Paduka Dr Aini Ideris berkata kejayaan itu mencerminkan komitmen UPM dalam memelihara alam sekitar melalui pelbagai aktiviti mesra alam dan pembelajaran yang efektif, penyelidikan, kokurikulum dan sistem pengurusan kualiti yang berteraskan pengurusan alam sekitar yang mampan dan efisien.

"UPM telah melaksanakan penambahbaikan yang signifikan terutama dalam sektor pengangkutan dan infrastruktur seperti keluasan ruang kehijauan selain memanfaatkan kemudahan menjimatkan tenaga yang efisien dan basikal dalam kawasan kampus," katanya.

Untuk tahun keenam berturut-turut, UPM menerajui universiti lain di Malaysia dalam konteks penarafan, mendahului Universiti Malaya yang berada di ranking ke-65 (ranking ke-72 tahun sebelumnya), Universiti Tunku Abdul Rahman 106 (93), Universiti Kebangsaan Malaysia 110 (118), Universiti Teknologi Malaysia 117 (86), dan Universiti Malaysia Sabah 173 (244).

Pernarafan 2015 menarik penyertaan 407 universiti dari 66 negara berbanding 360 universiti dari 62 negara yang mengambil bahagian pada 2014.

Untuk maklumat lanjut dan laporan mengenai penarafan UI GreenMetric World University Ranking, sila layari: http://greenmetric.ui.ac.id//ranking - BERNAMA

Artikel Lain