suria

Ingin Jumpa Semua Ahli Keluarga Permintaan Terakhir Affiah - Sepupu

Affiah Ariffin Hew.

KUALA LUMPUR: "Tak sangka keinginan bertemu dengan semua anggota keluarga merupakan permintaan terakhirnya sebelum pergi meninggalkan kami buat selamanya," kata sepupu kepada Affiah Ariffin Hew, 23, yang meninggal dunia susulan kemalangan ketika bermain ski di Perancis.

Kemalangan membabitkan pelajar University of Nantes itu berlaku di Nice pada Jumaat dan Affiah meninggal dunia sehari kemudian (awal pagi Ahad di Malaysia).

Mohammed Alif Mohamed Omar, 29, berkata kehilangan Affiah memberi kesan mendalam kepada seluruh anggota keluarga.

"Allahyarham seorang yang sangat peramah dan sering mengambil berat tentang orang lain...dia akan membantu sesiapa sahaja termasuk rakan dan keluarga," katanya.

"Kali terakhir saya berjumpa dengannya pada dua bulan lepas ketika arwah balik untuk cuti semester, arwah datang ke kedai makan saya bersama keluarganya dengan memesan pelbagai jenis makanan sehinggakan ibunya sendiri menggelengkan kepala," kata Mohammed Alif.

Mohammed Alif berkata ibu Affiah, Latipah Madon, kini dalam usaha untuk membawa jenazah pulang untuk dikebumikan di Malaysia.

"Jika tiada masalah, jenazah Affiah akan dibawa pulang ke Malaysia dalam masa tiga hari dan terus dihantar ke rumahnya di Damansara," katanya.

Mohammed Alif mengakui masih belum mendapat maklumat lanjut mengenai kejadian sebenar yang menimpa sepupunya itu.

Sementara itu, Kementerian Luar menerusi kenyataan pada Isnin mengesahkan kejadian itu dan mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa.

"Pihak kementerian sedia memberi bantuan kepada keluarga mangsa dalam proses membawa jenazah ke tanah air," kata kenyataan itu.

Affiah merupakan anak sulung daripada dua beradik.

Mangsa dikejarkan ke Hospital Pasteur di Nice selepas kemalangan itu sebelum meninggal dunia ketika menerima rawatan. - BERNAMA

Affiah Ariffin Hew, kemalangan

Artikel Sebelum

Artikel Lain