suria

Kawalan Keselamatan Tahap Tertinggi Pada Kejohanan Piala Monsun - Polis Johor

ISKANDAR PUTERI: Orang ramai tidak perlu bimbang dengan kawalan keselamatan sepanjang kejohanan Piala Monsun Malaysia berlangsung di  Puteri Harbour Marina di sini mulai hari ini hingga 30 Januari.

Dalam memberi jaminan itu, Ketua Polis Johor Datuk Wan Ahmad Najmuddin Mohd berkata polis telah membuat persediaan rapi dalam memastikan aspek keselamatan termasuk di air dan udara berada pada tahap tertinggi.

"Oleh itu, orang ramai boleh datang dengan hati yang senang untuk menyaksikan pertandingan antarabangsa ini," katanya kepada pemberita di Puteri Harbour Marina, Isnin.

Untuk kejohanan ini, katanya sebanyak 22 pegawai dan 207 anggota daripada pelbagai unit ditugaskan bagi memastikan tahap keselamatan sepanjang kejohanan pada tahap terbaik.

Antaranya ialah Pasukan Gerakan Udara, Unit Tindakan Khas, Pasukan Simpanan Persekutuan dan Pasukan Polis Marin.

Ini merupakan kali kedua Piala Monsun Malaysia diadakan di Puteri Harbour Marina dan menawarkan hadiah keseluruhan sebanyak RM1.5 juta.

Edisi ke-11 kejohanan itu adalah venue terakhir Jelajah Dunia Match Racing (WMRT), yang turut melibatkan lebih 15 kejohanan dunia membabitkan saingan di Perancis, Jerman, Switzerland dan Portugal.

Selain Malaysia, sebanyak 11 pasukan termasuk tiga pasukan baharu, akan bersaing pada kejohanan kali ini.-- Bernama


Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Pemandu Sokong AES

Artikel Lain