suria

Laluan Via Ferrata Selamat

Tengku Zainal Adlin ketika mencuba laluan via ferrata yang kini dilengkapkan dengan pelbagai alat keselamatan tambahan.

KOTA KINABALU: Pihak Taman-Taman Sabah dan pendaki berpengalaman berpuas hati dengan pelbagai ciri-ciri keselamatan tambahan yang dilengkapkan sepanjang laluan tertinggi dunia di Gunung Kinabalu.

Pengerusi Taman-Taman Sabah, Tengku Datuk Zainal Adlin Tengku Mansoor dan pendaki negara, T. Ravichandran berkata, mereka berpuas hati dengan peralatan baharu yang dipasang di sepanjang laluan via ferrata.

Tengku Adlin yang turut mencuba laluan itu pada 22 Januari lalu bersama Renjer Kanan Taman-Taman Sabah, Martin Moguring, tiga hari selepas ia dibuka berkata, alat dan langkah keselamatan adalah mencukupi.

"Peralatan baharu menjadikan via ferrata lebih selamat, malahan pendaki mendapat pengalaman menarik kerana dapat menikmati pemandangan yang begitu menakjubkan," katanya yang melaluinya pada ketinggian 3,776 meter.

Bagi pendaki amatur, via ferrata juga menyediakan laluan pada ketinggian 3,512 meter.

Ravichandran yang menggunakan litar Walk the Torq yang dilengkapkan dengan sistem tali aeroligne menganggap ia adalah permulaan yang baik kepada sesiapa sahaja yang berhasrat mendaki Kinabalu.

"Sistem baharu ini lebih mesra pendaki dan selamat. Sebaik memasang pencangkuk ke tali, saya hanya perlu menariknya dan sebaik tiba di tiap belok, hanya perlu berhenti seketika sebelum meneruskan perjalanan.

"Saya percaya pendaki yang tidak berpengalaman akan rasa lebih selamat dan selesa, sekali gus kurang gementar berbanding sistem terdahulu.

"Ketinggian sudah pasti suatu cabaran terutama ketika turun dengan batuan menghadap ke Ranau dan Kundasang, tetapi pendaki dihadiahkan dengan keindahan panorama di kawasan lembah, selain pancaran matahari yang begitu indah," katanya.

Sebelum, laluan via ferrata ditutup untuk pendakian susulan kejadian gempa bumi pada 5 Jun yang mengorbankan 18 nyawa. 

Bagaimanapun laluan ke puncak dibuka semula pada 1 Disember tahun lalu, manakala pada 19 Januari, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun telah melancarkan pembukaan semula via ferrata Gunung Kinabalu.

Artikel Sebelum

Pemandu Sokong AES

Artikel Berikut

Artikel Lain